Rabu, 22 November 2023 | 3:24pm

Pasaran harta tanah kediaman catat pertumbuhan positif suku ketiga

PUTRAJAYA: Pasaran harta tanah Malaysia pada suku ketiga tahun ini menunjukkan pertumbuhan positif dengan lebih 100,000 transaksi bernilai RM57.15 bilion direkodkan, sekali gus menyaksikan peningkatan 3.7 peratus berbanding suku tahun sebelumnya, yang disebabkan pertambahan pindah milik major sale dalam negara.

Daripada jumlah transaksi direkodkan itu, 87.7 peratus atau 95,511 transaksi membabitkan pindah milik tahun ini, sementara selebihnya membabitkan pindah milik tahun sebelumnya yang disempurnakan pada tempoh kajian.

Prestasi aktiviti pasaran mengikut sektor pula dilihat bertambah baik dengan peningkatan direkod dalam sektor perdagangan iaitu 33.3 peratus, diikuti kediaman (5.6 peratus) dan tanah pembangunan (2.4 peratus), sementara subsektor industri dan pertanian, masing-masing merosot 0.6 peratus dan 12.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dari segi nilai pula, semua subsektor turut merekod trend peningkatan.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (KPPPH), Abdul Razak Yusak berkata, subsektor kediaman terus menyokong keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dalam negara dengan 62.9 peratus bahagian atau 68,561 transaksi bernilai lebih RM28 bilion.

Katanya, harta tanah kediaman dalam lingkungan RM300,000 dan ke bawah menguasai aktiviti pasaran, mencatat 35,948 (52.4 peratus) transaksi, diikuti RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 16,947 (24.7 peratus) transaksi dan RM500,001 ke atas sebanyak 15,666 (22.9 peratus) transaksi.

"Mengikut jenis harta pula, permintaan kekal tertumpu kepada kediaman jenis teres yang mendominasi lebih 40 peratus daripada bilangan transaksi keseluruhan," katanya.

Katanya, suku ketiga menyaksikan lebih banyak pelancaran baru, yang merekod hampir 6,900 unit, berbanding 4,797 unit suku sebelumnya, dengan prestasi jualannya pula merekodkan 37.6 peratus, lebih tinggi berbanding 24.7 peratus pada suku kedua.

"Selangor merekod bilangan tertinggi dengan 2,491 unit (36.2 peratus), dengan prestasi jualan lebih baik iaitu 69.1 peratus. Wilayah Persekutuan di kedudukan kedua (1,439 unit, 21.9 peratus bahagian) dengan prestasi jualan 23.4 peratus, diikuti Johor dengan 1,088 unit atau 15.8 peratus bahagian, dengan prestasi jualan 16.4 peratus.

"Mengikut lingkungan harga, pelancaran baru berharga RM300,000 dan ke bawah mendominasi bilangan transaksi melebihi 70 peratus (5,075 unit), dengan prestasi jualan lebih baik iaitu 44.1 peratus, diikuti RM300,001 hingga RM500,000 dengan 11.8 peratus (813 unit) dan RM500,001 ke atas berjumlah 993 unit (14.4 peratus)," katanya.

Siap dibina tidak terjual

Sementara itu, Abdul Razak berkata, bilangan kediaman siap dibina tidak terjual atau 'overhang' menunjukkan penurunan pada suku ketiga kepada 25,311 unit atau RM17.40 bilion, berbanding suku sebelumnya.

"Mengikut lingkungan harga, kediaman RM500,001 dan ke bawah membentuk 50 peratus (13,910 unit) jumlah overhang. Johor merekodkan jumlah tertinggi dengan 4,500 unit (RM3.60 bilion), diikuti Perak, 3,625 unit (RM1.04 bilion), Selangor, 3,296 unit (RM3.48 bilion) dan Wilayah Persekutuan, 3,111 unit (RM3.32 bilion)," katanya.

Menyentuh Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada suku ketiga pula, ia katanya berada pada 212.6 mata (RM458,751 seunit) dengan pertumbuhan tahunan marginal 0.1 peratus.

Secara keseluruhannya, beliau berkata pasaran harta tanah kediaman dijangka kekal optimistik dan berhati-hati walaupun prestasi aktiviti pasaran menunjukkan pemulihan semula.

Prospek tenaga kerja di sektor pembinaan, peningkatan kos pinjaman, kenaikan harga bahan binaan serta tekanan inflasi dilihat akan memberi kesan secara tidak langsung kepada penawaran harta tanah kediaman.


Data Transaksi Terbuka JPPH jadi rujukan pasaran

Pelancaran Data Transaksi Terbuka Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 15 November lalu menambah lagi perkhidmatan data terbuka kepada orang awam selaras dengan inisiatif kerajaan menerusi Data Terbuka Sektor awam (DTSA).

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) berkata perkhidmatan itu selaras dengan tugas dan fungsi JPPH dalam meningkatkan perkhidmatan sektor awam kepada rakyat.

Data berkenaan kini boleh diakses dengan mudah oleh orang ramai menerusi laman sesawangnya, https://napic2.jpph.gov.my/.

Data Transaksi Terbuka JPPH adalah paparan baharu secara visualisasi data, yang memaparkan 12 attribute pindah milik harta tanah yang berlaku dalam negara mengikut bulan dan tahun.

NAPIC dalam kenyataan memaklumkan, Data Transaksi Terbuka JPPH boleh menjadi rujukan orang ramai untuk memperoleh input dan maklumat berkaitan harga pasaran harta tanah dalam negara yang sebelum ini dipelopori oleh syarikat swasta.

"Pengunjung portal jabatan boleh memilih untuk melihat transaksi harta tanah mengikut pilihan sektor kediaman, perdagangan atau industri, negeri, mukim serta jenis harta yang direkodkan dalam pindah milik yang didaftarkan di jabatan itu.

"Menerusi paparan data transaksi terbuka ini, Malaysia dilihat seiring dengan negara lain seperti Singapura dan Hong Kong dalam konteks perkongsian data," katanya.

Majlis Pelancaran Data Transaksi Terbuka JPPH itu diadakan secara maya, yang disempurnakan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak.

Tingkat integriti, ketelusan

Abdul Razak ketika berucap melancarkan Data Transaksi Terbuka JPPH, mengharapkan inisiatif digerak jabatannya itu dapat meningkatkan integriti dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Hasrat itu kata beliau, dapat dipenuhi menerusi perkongsian data yang cepat, relevan dan daripada sumber yang sah, selari dengan aspirasi data terbuka kerajaan.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, selari usia penubuhan NAPIC yang menginjak ke-25 tahun tahun depan, pelbagai usaha dan penambahbaikan dilakukan oleh NAPIC bagi mengekalkan fungsinya.

Justeru itu, beliau berharap semua pelayar laman web jabatannya, khususnya pemain industri harta tanah negara, dapat memanfaatkan sebaik mungkin data diterbit serta dikongsi oleh pihak NAPIC.

Berita Harian X