Rabu, 22 November 2023 | 12:57pm

Keluarkan J-KOM daripada JPM - Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan supaya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil alih Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang dilihat gagal memainkan peranannya dengan berkesan.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi KKD, berkata lebih memburukkan keadaan, timbulnya skandal membabitkan kepemimpinan tertinggi J-KOM.

"Kita lihat J-KOM dari segi peranannya ada kegagalan yang berlaku, antaranya dakwaan salah laku yang kita kenali sebagai skandal A&W (Agus dan Wahab)," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Saiful turut mempersoalkan mengapa sehingga kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyentuh langsung mengenai skandal dalaman membabitkan dua kakitangan J-KOM itu, sedangkan ia satu daripada jabatan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Hingga kini Perdana Menteri yang lantik Ketua Pengarah (Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff) tidak berikan sebarang komen.

"Kalau Perdana Menteri tidak boleh jalankan tugas ini, KKD wajar ambil alih J-KOM. Ini mungkin lebih menjimatkan dan membolehkan peranannya dijalankan secara efektif," katanya yang turut mempersoalkan sama ada KKD berasakan wujud pertindihan dari segi peranan J-KOM dengan kementerian berkenaan.

Baru-baru ini, satu video perbualan jelik mirip didakwa mirip Mohammad Agus bersama penolong pegawai di jabatan itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, tersebar di media sosial.

Terdahulu, Mohammad Agus mengesahkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri.

Berita Harian X