Rabu, 22 November 2023 | 11:07am
Penduduk meredah air di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BH/GHAZALI KORI
Penduduk meredah air di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BH/GHAZALI KORI

Banjir: Sembilan sekolah ditutup

KUALA TERENGGANU: Sembilan sekolah di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu ditutup selepas dinaiki air.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Terengganu, Azman Othman @ Abdullah, berkata empat sekolah yang ditutup di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kampung Bukit, SK Tok Dir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek.

Katanya, sekolah yang terpaksa ditutup di daerah Kuala Nerus ialah SMK Padang Kemunting, SMK Kompleks Mengabang Telipot, SK Pasang Kemunting dan Sekolah Sukan, manakala satu sekolah ditutup di daerah Setiu ialah SK Kampung Besut.

"Sebanyak 11 sekolah diarahkan bercuti kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sekolah yang diarahkan bercuti untuk dijadikan PPS ialah SK Chendering, SK Atas Tol, SK Rusila, SK Bukit Gasing, SK Bukit Tunggal, SK Gong Badak, SK Tok Jembal, SK Teluk Ketapang, SK Bukit Nanas, SK Kuala Besut dan SK Kampung Nail," katanya.

Difahamkan, 11 sekolah yang terpaksa ditutup sebelum ini bukan termasuk dalam kategori PPS.

Mengulas lanjut, Azman berkata, 25 sekolah termasuk tiga sekolah menengah daripada lima daerah di negeri ini ditutup kerana dijadikan PPS.

Katanya, sekolah yang ditutup kerana dijadikan PPS di daerah Kuala Terengganu ialah SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek dan SK Rengas Bekah.

"Sekolah di daerah Kuala Nerus yang ditutup kerana dijadikan PPS ialah SK Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang, SK Tok Jembal, SK Gong Badak, Sk RokmJiring, SK Pasang Air, SK Kompleks Gong Badak dan SK Seberang Takir.

"Tujuh sekolah di daerah Marang yang ditutup ialah SK Bukit Gasing, SK Rusila, SK Marang, SK Simpang Rawai, SMK.Meechang, SMK Seberang Marang dan SMk Seri Payong," katanya.

Azman berkata, tiga sekolah yang ditutup kerana dijadikan PPS di daerah Besut ialah SK Kuala Besut, SK Kampung Nail dan SK Kampung Baharu, manakala hanya satu sekolah di daerah Dungun yang ditutup iaitu SK Tok Kah.

Azman juga mengesahkan seramai 586 murid ditempatkan di PPS selepas kediaman ditenggelami banjir.

Berita Harian X