Rabu, 22 November 2023 | 10:49am
Penunjuk perasaan memegang potret tebusan kanak-kanak yang diculik Hamas ketika demonstrasi di pejabat UNICEF di Tel Aviv, Israel. - Foto AFP
Penunjuk perasaan memegang potret tebusan kanak-kanak yang diculik Hamas ketika demonstrasi di pejabat UNICEF di Tel Aviv, Israel. - Foto AFP

TERKINI: Israel-Hamas setuju henti sementara perang 4 hari, 50 tebusan akan dibebaskan

GAZA: Israel hari ini memeterai perjanjian bersama pejuang Hamas bagi membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak yang ditahan sebagai tebusan di Gaza sebagai pertukaran untuk 'pemberhentian sementara perang' selama empat hari.

Rundingan itu membabitkan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS); agensi perisikan Israel, Mossad; agensi perisikan Mesir dan pemimpin dari Doha, Kaherah, Washington, Gaza serta Israel.

Sumber Hamas dan Jihad Islam memberitahu AFP bahawa 'pemberhentian sementara perang' merangkumi penghentian aktiviti di medan tempur darat dan operasi serangan udara Israel di selatan Gaza.

Qatar selaku pengantara rundingan damai itu, berkata permulaan 'pemberhentian sementara perang' akan diumumkan dalam tempoh 24 jam dan boleh dilanjutkan melepasi tempoh empat hari jika dipersetujui.

Antara syarat dipersetujui bagi 'Pemberhentian sementara perang' termasuk:

- Tiada aktiviti ketenteraan selama empat hari

- Pertukaran 50 tebusan Israel bagi 150 tebusan tahanan

- Tambahan sehari bagi setiap 10 tebusan yang dibebaskan

- Israel tidak akan serang atau tahan penduduk Palestin sepanjang empat hari

- Trafik udara dihentikan sama sekali di selatan Gaza

- Trafik udara dihentikan enam jam sehari (10 pagi-4 petang waktu tempatan) di utara Gaza

Pihak berkuasa di Gaza berkata, perjanjian itu akan menyaksikan 'pemberhentian sementara perang' pertama dalam konflik Israel-Palestin, selepas pengeboman Israel memusnahkan Gaza yang diperintah Hamas.

Menurut Israel, Hamas dipercayai menahan kira-kira 240 tebusan, yang diculik ketika pejuangnya menyerbu masuk ke Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang.

Di Gaza, lebih 13,300 orang, sekurang-kurangnya 5,800 daripadanya kanak-kanak, telah terbunuh dalam perang, kata pegawai di wilayah dikawal Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata campur tangan Presiden AS, Joe Biden, telah membantu memperbaiki perjanjian itu supaya ia menjanjikan pembebasan lebih banyak tebusan untuk tambahan konsesi.

Bagaimanapun, Netanyahu berkata misi Israel yang lebih luas iaitu memperluaskan serangan terhadap Palestin sehingga Kumpulan Hamas dihapuskan sama sekali, kekal tidak berubah.

"Kami sedang berperang dan kami akan meneruskan perang sehingga kami mencapai semua matlamat kami.

"Kami mahu memusnahkan Hamas, dapatkan kembali warga kami yang dijadikan tebusan dan pastikan tiada sesiapa di Gaza boleh mengancam Israel," katanya dalam mesej yang dirakam pada permulaan mesyuarat kerajaan terbaru.

Sementara itu, Hamas dalam kenyataan terbarunya, menegaskan walaupun 'pemberhentian sementara perang' dipersetujui, 'jari mereka sentiasa berada di picu senjata' dan pejuang mereka tetap mempertahankan penduduk Palestin serta menentang pendudukan haram Israel. - REUTERS

Berita Harian X