Rabu, 22 November 2023 | 10:35am
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

'Tanpa UPSR, MRSM sukar nilai keupayaan, potensi sebenar pelajar' - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketiadaan UPSR juga antara faktor kepada pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah.

"Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

"Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR," katanya menerusi satu catatan di Facebook hari ini.

Perkongsian Asyraf Wajdi itu menerima pelbagai reaksi di media sosial. Ada dalam kalangan netizen menyokong kenyataan itu, selain ada pula memberi reaksi tidak bersetuju kerana tekanan dihadapi oleh murid dan juga pelajar.

Pengguna Facebook, Azalina Mohd Yunos, beliau bersetuju UPSR dikembalikan kerana pelajar bakal menghadapi kesukaran untuk belajar di sekolah menengah kerana tidak mempunyai asas yang kuat ketika belajar di sekolah rendah.

"Kesannya semakin ketara. Tambahan pula sekarang di sekolah tiada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Pelajar akan terus menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai peperiksaan yang besar.

"Ramai (pelajar) akan ketinggalan kerana sukar untuk menguasai semua (mata pelajaran) berbanding ketika ada UPSR & PT3. Peperiksaan besar membuatkan murid belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Bagi pengguna Khairulnizam Roslan pula, beliau memohon kerajaan dapat mewujudkan UPSR supaya hanya pelajar yang layak diberikan pertimbangan untuk ke MRSM seperti pencapaian akademik dan kokurikulum.

"Untuk latar belakang keluarga pula, saya syorkan beri peluang juga kepada anak-anak M40 dan ke atas mengikut kuota yang sesuai

"Pada saya ini penting untuk anak-anak bercampur dan mengenal antara satu sama lain yang mempunyai latar belakang kehidupan keluarga yang berlainan," katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook, Nur Aimi pula tidak bersetuju untuk mengembalikan UPSR kerana pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah tidak sepatutnya tertekan.

"Mereka patut belajar ilmu kendiri, sahsiah diri, adab, akhlak dan menguasai kemahiran (di sekolah rendah). Sekiranya tidak, guru akan tertekan untuk mengasingkan pelajaran mengikut kemampuan kerana ingin mengejar petunjuk prestasi utama (KPI)," katanya.

UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima.

Bagaimanapun pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Radzi Jidin telah memansuhkan peperiksaan terbabit susulan pandemik COVID-19.

Pada Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa bagi menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka.

Beliau sebaliknya berkata, Kementerian Pendidikan sedang memfokuskan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum persekolahan baharu, demi memastikan pendidikan masa depan lebih kukuh.

Berita Harian X