Rabu, 22 November 2023 | 9:45am

Usah risikokan diri jadikan banjir pesta main air

Sehingga lewat petang semalam, jumlah mangsa banjir negeri Pantai Timur semakin meningkat susulan pertambahan luruan hujan akibat Monsun Timur Laut. Di Terengganu, jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 1,700 orang.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga esok di beberapa daerah di Kelantan khasnya Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala di Terengganu membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Bencana banjir terutama pada musim tengkujuh bukan perkara baharu di negara ini dan lazimnya agensi kerajaan melaksanakan pelbagai tindakan bersepadu bagi memastikan isu banjir dan aspek pengurusan mangsa banjir ditangani dengan baik demi kepentingan semua.

Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Namun, di sebalik tindakan bersepadu agensi kerajaan menyelaras operasi menyelamat, isu yang tidak harus diabaikan adalah aspek kesihatan rakyat terjebak dalam bencana banjir. Saban tahun, setiap kali berlaku banjir besar di beberapa negeri, antara isu sering terlepas pandang adalah terputusnya sumber bekalan makanan dan air bersih.

Lazimnya apabila berlaku banjir, operator air terpaksa menutup loji rawatan air (LRA) bagi mengelak berlaku kerosakan kepada peralatan di loji. Umum sering menyangka apabila banjir berlaku bermakna operator air akan mempunyai pertambahan bekalan air untuk diproses.

Keadaan yang sebaliknya berlaku kerana LRA terbabit banjir perlu ditutup, sekali gus menyebabkan bekalan air terawat di sesuatu kawasan akan terjejas dan mangsa banjir tidak mendapat bekalan air bersih secukupnya. Walaupun setiap PPS dibekalkan dengan air mencukupi termasuk air tangki statik dan air botol, penyakit bawaan air juga sering menyusul.

Antara penyakit yang sering dialami penduduk atau mangsa banjir adalah penyakit kulit dan jangkitan pernafasan kerana keadaan kotor serta kekurangan bekalan air bersih. Walaupun kesnya tidak begitu signifikan, namun langkah awalan perlu diambil bagi mencegah penyakit berkenaan.

Pada masa sama, aspek keselamatan penduduk terjejas banjir perlu dipertingkatkan, terutama kanak-kanak kerana kes budak lemas akibat galak bermain banjir sering berlaku. Dalam banyak kes dilaporkan sebelum ini, kebanyakannya berpunca daripada sikap culas ibu bapa atau penjaga mengawasi anak mereka.

Lebih menyedihkan lagi apabila ada masyarakat menjadikan banjir seperti 'pesta air' untuk bersuka ria dengan melepaskan anak kecil 'berkubang' bebas dalam bah. Aspek keselamatan yang turut perlu diberi perhatian adalah ancaman renjatan elektrik. Bermakna, setiap warga yang kediaman mereka sering dinaiki bah harus waspada dengan ancaman halus ini.

Apa yang penting, setiap pihak khasnya penduduk, komuniti dan agensi pengurusan banjir perlu sentiasa peka serta cakna dengan keadaan persekitaran apabila banjir terjadi bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku terutama meragut nyawa.

Berita Harian X