Selasa, 21 November 2023 | 5:49pm
Wong Chen -Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Wong Chen -Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen gesa Malaysia pantau perkembangan politik Tunisia

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen menggesa kerajaan memantau perkembangan politik Tunisia susulan penahanan bekas Speaker Parlimen, Rached Ghannouchi.

Pengerusi jawatankuasa itu, Wong Chen, berkata Malaysia perlu mengambil sikap diplomatik yang menekankan kebimbangan berhubung keadaan hak asasi manusia dan demokrasi di negara itu.

Katanya, Malaysia juga perlu menggesa pilihan raya yang bebas dan adil dilakukan secepat mungkin di negara itu.

"Namun, perlu ditekankan, jawatankuasa bukan menggesa Malaysia untuk campur tangan isu dalaman negara berkenaan, tetapi wujud pelanggaran berkaitan isu hak asasi manusia dan demokrasi di negara itu ketika ini.

"Kami difahamkan masalah di Tunisia itu semakin meruncing tetapi tidak diberikan perhatian kerana konflik Israel-Palestin yang lebih besar kesan kemanusiaannya," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Yang turut sama, Ahli Parlimen Ledang yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh.

Terdahulu jawatankuasa itu menerima kunjungan bekas Menteri Belia dan Sukan Tunisia, Ahmed Gaaloul dan anak bekas Speaker Parlimen Tunisia, Moaz Ghannouchi.

Rached, 82, ditahan ketika menjawat jawatan Speaker Majlis Perwakilan Rakyat Tunisia, April lalu.

Beliau yang juga tokoh politik utama, pemimpin parti Ennahda, adalah tokoh politik berpengaruh ketika kebangkitan Arab Spring ditahan bersama beberapa individu berprofil tinggi kerana dipercayai amat lantang mengkritik Presiden, Kais Saied.

Beliau kemudian dihantar ke penjara El Aouina di Timur Tunisia dan polis melarang parti berkenaan daripada mengadakan sebarang bentuk aktiviti termasuk sesi sidang akhbar.

Wong Chen berkata, jawatankuasa itu menggesa segera melepaskan Rached atas faktor kesihatan, usia dan keadilan.

"Kami juga mendesak beliau dikembalikan sebagai Speaker Majlis Perwakilan Rakyat Tunisia dan penahanannya satu penghinaan terhadap demokrasi tertinggi di negara itu," katanya.

Berita Harian X