Selasa, 21 November 2023 | 5:32pm
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal@Jainal Madasin (dua kiri) bersama seorang penduduk kampung ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, hari ini.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal@Jainal Madasin (dua kiri) bersama seorang penduduk kampung ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, hari ini.

Lebih 60 keluarga resah, kediaman mula dilimpahi banjir

RANTAU PANJANG: Lebih 60 keluarga di Kampung Tersang, di sini, resah selepas penempatan mereka mula dilimpahi air pada paras 0.3 meter (m), sejak tengah hari tadi.

Perkampungan berkenaan adalah antara kawasan terawal di Rantau Panjang, yang dilanda banjir pada setiap tahun berikutan jarak berdekatan sungai, selain kedudukan yang lebih rendah.

Penduduk, Muhamad Shafik Mohd Zain, 23, berkata hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan air memenuhi halaman kediamannya dan dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Biasanya jika hujan masih berterusan selama dua atau tiga hari, penempatan kami akan mula mengalami banjir dengan paras 0.5 sehingga semeter sebelum semua berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sekarang air masih cetek, jadi penduduk mengambil kesempatan menyelamatkan kenderaan serta barangan penting terlebih dahulu sebelum ia naik mendadak, terutama selepas Sungai Golok yang berdekatan turut melimpah.

"Air yang melimpahi halaman kami ini adalah dari limpahan Sungai Lachang, di sini, tetapi jika hujan tanpa henti keadaan akan bertambah buruk apabila Sungai Golok juga turut melimpah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Penduduk Kampung Tersang turut dikunjungi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin, yang turun padang memantau serta menasihati penduduk setempat.

Zainal berkata, penduduk di kawasan rendah di sekitar Rantau Panjang, terutama berdekatan sungai, dinasihatkan agar berwaspada kerana Sungai Golok dilihat menunjukkan peningkatan paras air selepas menerima taburan hujan yang tinggi.

"Setakat ini, belum ada laporan untuk pemindahan dijalankan di jajahan ini, namun penduduk perlu sentiasa berjaga-jaga memandangkan cuaca juga masih mendung dan hujan," katanya.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 5 petang ini, air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga iaitu 7.85m.

Berita Harian X