Selasa, 21 November 2023 | 5:29pm
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

Calon BN Kemaman 'kalih' walaupun tidur tiga jam sehari

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) Kemaman, Jeneral (B), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menganggap 'kalih' (biasa) walaupun hanya tidur tiga jam sehari.

Pengalaman tidak berehat dan tidur ayam sehingga dua atau tiga hari dalam tentera dimanfaatkan sepenuhnya dalam tempoh empat hari berkempen bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

"Kita bagaikan mendapat 'tonik' apabila dapat bertemu dan bermesra dengan masyarakat, terutama pengundi walaupun dalam keadaan hujan.

"Sepanjang tempoh berkempen bermula pada hari penamaan calon Sabtu lalu, kita sudah menemui lebih 20,000 pengundi di Parlimen Kemaman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Raja Mohamed Affandi menghadiri program menyantuni peneroka Felda Kertih 5, hari ini.

Pada PRK Kemaman ini, Raja Mohamed Affandi akan menentang calon PAS iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi mengakui turun padang seawal jam 6 pagi untuk bersama menunaikan solat subuh berjemaah di masjid serta surau di daerah Kemaman.

"Bersarapan di atas kenderaan sudah menjadi kebiasaan, tetapi saya akan pastikan dapat minum pagi bersama masyarakat selepas menunaikan solat Subuh.

"Alhamdulillah, sepanjang empat hari berkempen, seluruh masyarakat memberi sokongan dan sambutan.

"Seluruh jentera pilihan raya termasuk daripada bahagian lain yang dijadikan 'keluarga angkat' oleh parti memberi kerjasama penuh dan bersemangat walaupun sudah berkampung dan berkempen dua minggu sebelum hari penamaan calon, Sabtu lalu," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata, tidur dua atau tiga jam sehari, berhujan serta berpanas sudah menjadi rutin harian kepada setiap anggota tentera.

Raja Mohamad Affandi mengakui dia tidak perlu memperkenalkan diri sebagai calon, sebaliknya masyarakat yang ditemui seolah-olah sudah mengenali dirinya.

"Ada masyarakat ketika ditemui berterima kasih kepada saya kerana membantu mereka ketika banjir besar melanda daerah Kemaman pada tahun 2013," katanya.

Berita Harian X