Selasa, 21 November 2023 | 5:28pm
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh menunjukkan menunjukkan perbezaan passport ori manakala disebelah kanan passport palsu pada sidang media rampasan alat membuat passport palsu di khas di Bahagian Perisikan Khas Imigresen, Putrajaya. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh menunjukkan menunjukkan perbezaan passport ori manakala disebelah kanan passport palsu pada sidang media rampasan alat membuat passport palsu di khas di Bahagian Perisikan Khas Imigresen, Putrajaya. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Ops Vista Mutiara bongkar sindiket pemalsuan pasport asing

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pemalsuan pasport negara asing susulan penahanan tiga warga Bangladesh termasuk dalang utama dalam operasi khas di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata dalam operasi khas dikenali Ops Vista Mutiara itu, pihaknya turut merampas 121 pasport Bangladesh, Myanmar dan Indonesia disyaki palsu.

Katanya, semua suspek yang ditahan menerusi hasil aduan awam dan risikan Jabatan Imigresen itu berusia antara 26 hingga 33 tahun.

"Pasukan operasi diatur gerak ke Kepong Commercial Park dan menahan dua lelaki warga Bangladesh yang mana seorang daripadanya memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) masih sah dan seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan.

"Kedua-dua suspek dipercayai orang kanan sindiket itu ditahan ketika menghantar bungkusan mengandungi pasport palsu kepada pelanggan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ruslin berkata, penahanan dua individu itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki disyaki dalang utama sindiket berkenaan menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Kepong.

Katanya, suspek berusia 33 tahun dan memiliki PLKS sah sehingga Jun tahun depan.

"Modus operasi sindiket ini ialah menyasarkan warga asing seperti Bangladesh, Myanmar, Indonesia, India, Nepal dan Pakistan yang tidak mempunyai pasport dan dokumen pengenalan diri.

"Sindiket dipercayai beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran RM500 hingga RM700 bagi setiap pasport.

"Selain pasport dipercayai palsu, Jabatan Imigresen turut merampas dua komputer riba dan dua mesin pencetak," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu mampu mencetak antara lima hingga 10 pasport sehari bergantung kepada permintaan pelanggan.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Berita Harian X