Selasa, 21 November 2023 | 4:20pm
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. NSTP/Rohanis Shukri
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. NSTP/Rohanis Shukri

Syor saringan simptom penyakit sebelum mangsa ditempatkan di PPS

KUALA LUMPUR: Saringan setempat disyor dilakukan terhadap mangsa banjir yang berada dalam kawasan atau daerah yang merekodkan penularan penyakit bawaan udara berkaitan influenza, batuk kering atau tuberkulosis (TB) dan COVID-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata langkah itu bagi memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) tidak menjadi tempat penyakit merebak.

"Pihak berkuasa kesihatan perlu mengambil langkah proaktif melakukan saringan terhadap mangsa banjir sebelum mereka dimasukkan ke PPS.

"Sekiranya mangsa banjir yang disaring itu positif, mereka boleh dikuarantinkan di PPS atau jika simptom bertambah teruk, mereka perlu segera dipindahkan ke hospital.

"Namun bagi PPS yang tiada kemudahan saringan, mangsa yang mempunyai simptom dan disyaki menghidap tiga penyakit bawaan udara itu, perlu diasingkan supaya dapat mengelakkan pesakit bercampur dengan yang lain.

"Bagi kebanyakan kes, golongan paling berisiko dan lebih terdedah adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas," katanya kepada BH, hari ini.

Musim monsun timur laut (MTL) yang membawa banjir dikhuatiri mengakibatkan risiko atau peningkatan penyakit bawaan air berikutan banjir menyebabkan sampah-sarap, lumpur takungan najis keluar bersama-sama limpahan air yang tercemar hingga mengakibatkan pelbagai penyakit berjangkit.

Penyakit bawaan air dan makanan adalah penyakit berpunca daripada jangkitan kuman yang terdapat dalam makanan dan minuman sudah tercemar.

Penyakit ini biasanya dikategorikan sebagai keracunan makanan, taun, demam kepialu (tifoid), disenteri dan Hepatitis A.

Selain itu, wabak influenza atau penyakit berjangkit lain disebabkan virus turut dijangka meningkat sepanjang MTL ini.

Ditanya mengenai penyakit bawaan air yang sering dikaitkan banjir, Sharifa Ezat menjelaskan, penyakit bawaan air boleh disebabkan oleh bakteria, virus seperti hepatitis A, kolera, tifoid dan samonella.

"Ketika banjir terdapat kemungkinan air bah bercampur air najis dalam pembetungan. Warga emas dan wanita mengandung sangat berisiko dijangkiti serta mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

"Justeru, pemakaian pelitup muka sangat digalakkan kerana ketika berada di tempat ramai orang seperti PPS pencegahan kendiri sangat penting.

"Risiko jangkitan sangat tinggi sekiranya ada penularan wabak atau pesakit itu sendiri tidak tahu mereka mempunyai virus dan keadaan itu menyebabkan virus mereka kepada orang lain di PPS terbabit," katanya.

Berita Harian X