Selasa, 21 November 2023 | 4:01pm
Nelayan di Pantai Tanjung Kemasek meluahkan masalah dihadapi mereka kepada calon BN PRK Parlimen Kemaman, Jen (B) Tan Sri Raha Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (berdiri). - BERNAMA
Nelayan di Pantai Tanjung Kemasek meluahkan masalah dihadapi mereka kepada calon BN PRK Parlimen Kemaman, Jen (B) Tan Sri Raha Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (berdiri). - BERNAMA

Nelayan harap isu muara sungai cetek diberi perhatian MP baharu Kemaman

KEMAMAN: Nelayan di Pantai Tanjung Kemasik di sini berharap agar isu muara sungai yang cetek dapat diberi perhatian oleh wakil rakyat yang akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Zuaimi Mat Ali, 59, berkata masalah berlanjutan hampir lima tahun itu mengakibatkan nelayan menghadapi kesukaran untuk ke laut dan membawa pulang hasil tangkapan.

"Apabila air surut, perahu tak boleh nak keluar. Kalau nak tambat perahu (apabila pulang dari laut), kena di hujung benteng. Jadi jauhlah nak bawa ikan-ikan (hasil tangkapan). Kemudian kalau nak menambat di hujung benteng tak berani, takut nanti perahu tenggelam pecah terlanggar benteng," katanya.

Menurutnya, projek benteng pemecah ombak yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah itu, malah lebih menambah kesukaran kepada nelayan apabila isu muara sungai yang cetek masih berlanjutan.

Seorang lagi nelayan, Zulkifli Abdul Ghani, 63, berkata masalah berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan mereka, lebih-lebih lagi turut terkesan dengan musim tengkujuh yang mula melanda daerah ini.

"Nak ke laut tak boleh, ombak besar, tetapi syukurlah kerajaan Persekutuan ada beri bantuan sara hidup kepada nelayan sebanyak RM300 sebulan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yassim Mohamed, berkata pada masa ini terdapat lebih 500 nelayan yang aktif menangkap ikan di sepanjang perairan Kemaman, terutama dari Teluk Kalong hingga ke Kuala Kemaman.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) PRK Parlimen Kemaman, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, beliau mengambil maklum masalah nelayan itu.

"Perkara begini kita perlu teliti terlebih dahulu fakta-fakta mengenainya, baru kita boleh mengeluarkan satu benda (penyelesaian) yang lebih baik," katanya.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS dalam pertandingan satu lawan satu pada 2 Disember depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - BERNAMA

Berita Harian X