Selasa, 21 November 2023 | 3:03pm
Muhammad Shafiq Nasir Lim dijatuhi hukuman penjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah atas lapan pertuduhan mencuri - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Muhammad Shafiq Nasir Lim dijatuhi hukuman penjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah atas lapan pertuduhan mencuri - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.

Lelaki mencuri untuk bayar hutang along dipenjara 21 bulan

MELAKA: Seorang lelaki dihukum penjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan mencuri wang dan barangan milik penjaja serta orang perseorangan.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh, Muhammad Shafiq Nasir Lim, 23, selain menimbangkan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pendakwaan.

Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu pada tarikh dan masa berbeza antara 22 Jun 2022 hingga 4 November lalu.

Mengikut empat pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat curang mencuri peti duit milik empat penjaja mengandungi wang berjumlah keseluruhan 2,305.50.

Kesalahan itu dilakukan di Gerai Orked Dchurros tepi jalan Batu Berendam pada 27 Oktober lalu, kira-kira jam 3.20 petang; Gerai Adicto Churros, Taman Duyong Bestaripada 3 November lalu, jam 5.15 petang; gerai menjual air kelapa di tepi Jalan Tebing Tinggi pada 19 Oktober lalu, kira-kira jam 1.30 tengah hari dan di gerai menjual kuih pau tepi Jalan Seri Emas 7, Taman Seri Telok Emas pada 22 Oktober lalu kira-kira jam 6 petang.

Dia juga didakwa mencuri beg silang milik Mohd Sabri Sulaiman, 41, di gerai tepi jalan Nasi Kukus Abe Nik, Jalan Rambai Jaya pada 13 Jun 2022, kira-kira jam 3.30 petang.

Bagi tiga lagi pertuduhan dia didakwa mencuri, iaitu kotak plastik berisi wang tunai RM500 kepunyaan Ros Hashim, 49; dua beg silang mengandungi dokumen peribadi dan telefon di dalam raga motosikal milik Normasziela Rahmat, 37, hingga kerugian RM300 dan wang tunai RM350, milik penjual air balang, Natasha Ariffin, 27.

Kesalahan itu dilakukan masing-masing, di tepi jalan Warung Putu Piring, Jalan Bukit Duyong pada 4 November kira-kira jam 4.30 petang; di tepi jalan Eye On Melaka pada 21 Oktober lalu kira-kira jam 6.30 petang dan di Jalan Desa Duyung pada 17 Oktober lalu, jam 2.15 petang.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, bagi kesalahan kedua atau kemudian boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes tertuduh berpura-pura mahu membeli makanan dan minuman sebelum melarikan peti besi dan barangan milik mangsa dengan menaiki motosikal jenis skuter.

Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu tertuduh dikenakan hukuman penjara ringan kerana sudah insaf selain perlu menanggung isteri sarat mengandung dan seorang anak.

Katanya, tertuduh yang bekerja menjual sarapan memberitahu dia mencuri kerana mahu membayar hutang along sebanyak RM5,000.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga lima bulan dan berjalan berasingan bagi semua pertuduhan.

Berita Harian X