Selasa, 21 November 2023 | 2:54pm
Rakyat Palestin cedera dipindahkan dari hospital Indonesia di utara Gaza ke hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza. - Foto AFP
Rakyat Palestin cedera dipindahkan dari hospital Indonesia di utara Gaza ke hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza. - Foto AFP

Konflik Palestin: Enam perkara Malaysia kemuka dimasuk dalam resolusi OIC

KUALA LUMPUR: Malaysia menyertai kumpulan negara yang akan memulakan tindakan antarabangsa bagi menghentikan perang ke atas Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan itu membolehkan Malaysia menyertai mandat yang diberikan kepada Menteri Luar Arab Saudi, Palestin, Jordan, Mesir, Qatar, Turkiye, Indonesia dan Nigeria seperti dipersetujui dalam resolusi Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi.

"Pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC yang disatukan dengan Sidang Kemuncak Liga Arab di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November baru-baru ini, saya menyuarakan pendirian Malaysia berkenaan isu Palestin dan menekankan enam perkara yang perlu dilaksanakan.

"Enam perkara itu termasuk gencatan senjata serta-merta dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dan menghentikan aktiviti penempatan haram Israel.

"Malaysia juga menggesa menghentikan serta-merta pemindahan orang awam secara paksa; menyiasat dan mendakwa semua pelanggaran undang-undang oleh Israel; menyokong Inisiatif Keamanan Arab dengan mengiktiraf sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan persempadanan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya; dan memerangi peningkatan global dalam Islamophobia sambil melindungi hak untuk menyuarakan secara aman sokongan terhadap perjuangan Palestin," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin mengetahui hasil mesyuarat Persidangan Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum (genocide), yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Anwar berkata, enam perkara itu diterima dengan baik oleh negara anggota OIC dan menjadi keberhasilan utama Sidang Kemuncak OIC itu.

Katanya, enam perkara itu juga diterima pakai dalam resolusi yang dikemukakan OIC, yang antara lain menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi tegas bagi mengenakan sekatan keganasan dan menghentikan pencerobohan Israel dan menyokong langkah membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza secara segera, berterusan dan mencukupi.

Justeru, katanya atas tekanan politik yang berterusan ini, baru-baru ini Majlis Keselamatan PBB pada 15 November lalu menerima pakai resolusi mengenai situasi di Palestin.

"Resolusi ini, antara lain, menuntut semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, dan meminta supaya gencatan kemanusiaan dan koridor kemanusiaan di Semenanjung Gaza dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan, termasuk air, elektrik, minyak, makanan dan bantuan perubatan, disalurkan kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan kanak-kanak," katanya.

Untuk rekod resolusi itu diterima pakai dengan undian 12 bersetuju (Albania, Brazil, China, Ecuador, Emiriah Arab Bersatu, Gabon, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Perancis dan Switzerland) dan tiga (3) berkecuali (Russia, United Kingdom dan Amerika Syarikat).

Berita Harian X