Selasa, 21 November 2023 | 11:48am

'Isu bidang kuasa... bukan cabar perundangan syariah'

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri membidas dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN), mengaitkan Kerajaan Perpaduan menyokong petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kewajaran PN tidak mengambil sebarang tindakan berikutan petisyen itu dibuat sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan.

Beliau turut 'menyindir' Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air yang hanya menyatakan tidak tahu menahu mengenai petisyen terbabit.

"Bagaimana seorang menteri boleh kata saya tidak tahu. Saya tegaskan di sini kerana ada percubaan seolah kita menentang. Di mana yang kita menentang? Siapa perintah masa itu, siapa Perdana Menteri, siapa Menteri Undang-Undang. Sekarang semua salah pada kita," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menyelar sikap pemimpin PN yang jelasnya, hanya tahu mencari salah, sedangkan mereka sendiri tidak peka mengenai isu terbabit.

"Saya hanya ambil alih (kerajaan) November tahun lalu, sedangkan kes (Iki Putra Mubarak) sejak 2021 dan 2022 (petisyen Nik Elin). Tidak ada pula mereka nak tubuhkan jawatankuasa khas. Jadi tak usahlah dipolitikkan dan jangan cemarkan Perlembagaan, malah bersumpah (kononnya) untuk pertahankan Perlembagaan," katanya.

Perdana Menteri turut meminta mana-mana pihak termasuk ahli politik tidak 'menunggang' notis petisyen Nik Elin Zurina dengan mengaitkannya sebagai agenda mencabar perundangan syariah di negara ini.

Perdana Menteri berkata tindakan sedemikian menyebabkan isu sebenar iaitu sama ada bidang kuasa negeri boleh melaksanakan undang-undang sendiri tanpa berunding dengan Kerajaan Persekutuan diabaikan.

"Padahal substantifnya adalah isu bidang kuasa, adakah negeri boleh buat undang-undang (sendiri) atau harus berunding dengan peringkat persekutuan.

"Ini bukan keputusan substantif soal syariah, ia soal bidang kuasa. Apakah negeri boleh buat (undang-undang)?

"Kita bayangkan kalau semua negeri buat undang-undang (sendiri) dan setiap negeri ada percanggahan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin tahu pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung Notis Petisyen yang difailkan Nik Elin Zurina dan anaknya yang dilihat usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menegaskan, tidak wajar untuk mengaitkan kerajaan dengan sangkaan jahat, termasuk didakwa menentang pemerkasaan undang-undang syariah.

"Saya tegaskan perkara ini kerana ada percubaan seolah (mengatakan) kita menentang (undang-undang syariah).

"Kita akan gesa (tindakan segera) dilakukan Menteri Agama, termasuk memberi ruang kepada semua pihak, bukan hanya (pihak) kerajaan tetapi pembangkang, alim ulama dan pihak lain. Ini memandangkan ada persepsi sebahagian orang Islam, seolah ini mencabar perundangan syariah.

"Persepsi ini timbul kerana orang politik menunggang agama untuk mainkan isu ini," katanya.

Perdana Menteri turut memberi penjelasan bahawa kes terbabit telah bermula sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Kes ini (difailkan) pada 2022 dengan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran (membuat petisyen) pada 30 September 2022. Siapa perintah masa itu? Siapa Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang (waktu itu)? Sekarang semua meletakkan kesalahan kepada kita.

"Kita dianggap kurang Islamik sedangkan kerajaan sekarang inilah yang ambil tindakan lebih tegas," katanya.

Semalam Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, isu dalam pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan mengenai memburuk-burukkan agama Islam atau melemahkan kuasa Mahkamah Syariah.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan, berkata, isu yang timbul melalui sebahagian daripada petisyen itu adalah sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.

Terdahulu lebih 1,000 orang hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman, pagi semalam.

Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu bagi membantah tindakan Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mereka mahu mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Berita Harian X