Selasa, 21 November 2023 | 8:31am
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ali (tengah) dan Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali (kanan) menyalakan api relau di Kompleks Pemuliaan al Quran Pahang. - Foto MOHD RAFI MAMAT
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ali (tengah) dan Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali (kanan) menyalakan api relau di Kompleks Pemuliaan al Quran Pahang. - Foto MOHD RAFI MAMAT

Kompleks Pemuliaan al Quran di Chenor lupus satu tan bahan cetak seminggu

MARAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membina Kompleks Pemuliaan al Quran Pahang yang juga terbesar di negara ini dan mampu melupuskan al Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci sebanyak satu tan seminggu.

Kompleks berharga RM280,000 itu terletak di Chenor, dekat sini dan mula beroperasi Januari lalu. Proses membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas.

Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali, berkata sejak beroperasi Januari lalu, Kompleks Pemuliaan al Quran Pahang melupuskan sebanyak 12 tan al-Quran dan bahan bercetak ke laut.

"Kini masih terdapat kira-kira 20 tan al-Quran dan bahan bercetak berkaitan yang rosak masih tidak sempat dilupuskan lagi yang disimpan dalam tiga kontena," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Pemuliaan al Quran Pahang dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ali.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan.

Zulkifle berkata, JAIP menerima peruntukan RM280,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membina kompleks pemuliaan al Quran Pahang tahun lalu dan tambahan RM200,000 disediakan kerajaan Pahang bagi menyediakan pelbagai kemudahan seperti rumah tamu, tiga unit kontena dan peralatan elektronik.

Beliau berkata, JAIP mempunyai satu lagi pusat pemuliaan al-Quran di Peramu, Pekan yang mampu melupuskan kira-kira 300 kilogram (kg) dalam satu masa.

Beliau juga berkata, pihaknya merancang menyediakan dewan latihan, dewan makan dan bilik galeri sebagai nilai tambah kompleks berkenaan yang akan menjadikan Kompleks Pemuliaan al Quran Pahang bertaraf nasional.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pertambahan jumlah al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak setiap tahun disebabkan antaranya kecuaian masyarakat menjaganya.

"Setiap kali berlaku bencana banjir besar di negeri ini, jumlah al Quran yang rosak bertambah beberapa kali ganda," katanya yang berharap proses pelupusan dapat terus berjalan lancar.

Berita Harian X