Isnin, 20 November 2023 | 7:00pm
Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. Gambar fail
Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. Gambar fail

'Wahab belum bagi keterangan atas faktor keselamatan'

KAJANG: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani masih belum tampil memberi keterangan atas faktor keselamatan.

Peguam yang mewakilinya, Faizal Rahman yang mendedahkan perkara itu, enggan mengulas lanjut mengenai bila Abdul Wahab akan tampil untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, Abdul Wahab akan dipanggil pihak polis dalam masa terdekat, namun tidak boleh dinyatakan tarikhnya.

"Banyak faktor yang kita ambil kira terutama dari segi keselamatan.

"Apa pun pihak kami dan polis akan memberi kerjasama," katanya selepas menemani bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada Abdul Wahab ada menerima ancaman daripada mana-mana individu, Faizal juga enggan mengulas perkara terbabit.

Bagaimanapun, peguam berkenaan hanya menyatakan anak guamnya itu berada dalam keadaan selamat.

Faizal yang juga peguam mewakili Mohammad Agus memaklumkan, satu laporan baharu dibuat pihaknya selepas mendapati terdapat kebocoran maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan laporan dibuat anak guamnya sebelum ini.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana laporan dibuat anak guamnya boleh terdedah meskipun kes terbabit disiasat Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Apa yang pasti laporan yang bocor itu bukan salinan daripada pihak kami.

"Kita tidak mahu buat spekulasi. Apa yang pasti dokumen itu daripada polis dan mereka perlu bertanggungjawab atas kebocoran itu," katanya.

Berita Harian X