Selasa, 3 Oktober 2023 | 10:06pm
Tinjauan keadaan jerebu di Bukit Ampang pada jam 2.30 petang tadi. NSTP/ AHMAD UKASYAH
Tinjauan keadaan jerebu di Bukit Ampang pada jam 2.30 petang tadi. NSTP/ AHMAD UKASYAH

KPM arah sekolah tutup serta-merta jika IPU lebih 200

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah di kawasan atau daerah yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, ditutup serta-merta.

Jika bacaan IPU melebihi 100 pula, pihak sekolah terbabit dikehendaki menghentikan segala aktiviti luar bilik darjah membabitkan semua murid, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan disarankan supaya ditangguhkan.

Selain itu, menurut KPM, murid dinasihatkan memakai pelitup muka serta kerap meminum air, dan pihak sekolah hendaklah merujuk mereka yang didapati tidak sihat kepada ibu, bapa atau penjaga dengan segera.

"Jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah diminta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi menjaga aspek kebajikan, keselamatan serta kesihatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.

"Pembukaan semula sekolah bergantung pada bacaan IPU bawah 200. Jika trend bacaan menunjukkan pengurangan IPU bawah 200, tindakan boleh diambil sebagai persediaan pembukaan semula sekolah.

"Guru dan kakitangan juga tidak perlu hadir ke sekolah jika bacaan IPU melebihi 500," katanya dalam kenyataan dimuat naik melalui laman X, hari ini.

Menurut KPM lagi, ibu bapa diberikan kebenaran untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika bimbang mengenai tahap kesihatan, namun tindakan itu perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah.

Selain itu, katanya, pengetua atau guru besar perlu memastikan guru membuat tugasan sewajarnya di sekolah ketika premis berkenaan ditutup, jika mereka tidak diberi cuti, selaras peruntukan dalam Surat Siaran Bil 8/2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.

"Pihak sekolah juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai fenomena jerebu di kawasan atau daerah masing-masing, bagi memudahkan pengurusan tindakan sewajarnya.

"Selain itu, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam, hendaklah diteruskan," katanya.

Berita Harian X