Isnin, 2 Oktober 2023 | 8:38pm
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

Isu beras: 'Saya amat peka, dengar segala keluh-kesah rakyat' - Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tidak berpeluk tubuh, sebaliknya akan bergerak dengan segenap akal dan bertiwikrama (berusaha sedaya upaya) untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras global ketika ini.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk melalui beberapa langkah intervensi diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini, bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga beras putih import (BPI) dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran.

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan YB (Yang Berhormat) Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di pejabat saya bagi berbincang dan mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.

"Diharap langkah ini akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi, insya-Allah," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Perpaduan prihatin akan isu semasa, khususnya apabila rakyat ingin mendapatkan jaminan bekalan BPT dan harga BPI.

"Kendatipun, saya amat peka dan mendengar segala keluh-kesah yang dibangkitkan rakyat susulan kenaikan harga BPI dalam pasaran ekoran kenaikan harga beras global," katanya.

Anwar menjelaskan, fenomena kenaikan harga beras bukan hanya berlaku di Malaysia, malah membabitkan negara serantau berikutan tindakan 19 negara mengehadkan eksport beras untuk memberikan keutamaan kepada rakyat sendiri.

Terdahulu, Mohamad pada sidang media khas berkata, Perdana Menteri bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Antara langkah itu ialah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar, termasuk di kedai-kedai runcit, dengan kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, Mohamad berkata, kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM950 setiap tan metrik bagi BPI mulai 5 Oktober ini, di mana langkah itu akan membolehkan BPI diperoleh pada harga runcit RM31 bagi 10 kilogram. – BERNAMA

Berita Harian X