TUARAN: Kerajaan Sabah menyatakan komitmennya untuk memastikan isu gangguan bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat negeri ini dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun dari sekarang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan bagi memenuhi kedua-dua keperluan itu.
Katanya, ia selaras komitmen kerajaan negeri meletakkan usaha mengatasi masalah bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat negeri ini sebagai keutamaan ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat.
"Kita akan pastikan kedua-dua masalah ini dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi. Jika diurus dengan baik, insya-Allah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini," katanya pada perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman, semalam.
Hajiji berkata, bagi masalah air, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, dekat sini yang sedang dalam proses penyiapan akhir naik taraf dijangka dapat beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.
Katanya, penyiapan projek itu akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 80 juta liter sehari (JLS) untuk menampung keperluan di utara Kota Kinabalu dan daerah ini, sekali gus dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kedua-dua kawasan ketika ini.
Loji berkenaan adalah antara loji tambahan yang dirancang untuk menangani kekurangan bekalan air di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, termasuk sebuah lagi di LRA Kogopon, Papar.