Isnin, 2 Oktober 2023 | 9:43am
Keperluan beras negara ialah 2.5 juta tan setahun menurut data BERNAS. - Foto hiasan
Keperluan beras negara ialah 2.5 juta tan setahun menurut data BERNAS. - Foto hiasan

Ke mana hilang beras?

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran masih lagi diperkatakan sehingga ada yang mengaitkannya dengan pelbagai faktor penghalang dan ketirisan dalam rantaian pengeluarannya.

Persoalan yang membelenggu pengguna apabila pihak yang terbabit dalam industri pengeluaran beras iaitu dari pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit hingga sampai kepada pengguna, dilihat saling salah menyalahi antara satu sama lain.

BH menyorot setiap rantaian pengeluaran beras negara dan di manakah kemungkinan wujudnya masalah ketirisan, 'tangan ghaib' atau manipulasi pihak tertentu sehingga ia memberi kesan dari segi bekalan dan harga pasaran.

Bagi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), dilema yang dihadapi ialah kebanyakan pengilang enggan menanggung kerugian disebabkan kos pengeluaran BPT yang dibeli daripada pesawah dan pembekal juga tinggi.

Presiden PPBMM, Mohamad Termizi Yop mendedahkan, ini kerana kos pengeluaran BPT kini mencecah RM2,800 satu tan metrik sehingga menyukar pekilang menjual pada harga RM26 sekampit yang dikawal kerajaan.

"Kenaikan harga padi pada Ogos lalu mencecah RM1,700 hingga RM1,800 setiap tan metrik dan apabila diproses harga beras boleh mencecah sehingga RM2,800 satu tan," katanya kepada BH.

Data Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyatakan, keperluan beras negara ialah 2.5 juta tan setahun dan 62 peratus atau 1.55 juta tan daripadanya adalah BPT, 27 peratus atau 675,000 tan diimport manakala selebihnya adalah beras jenis lain seperti pulut, wangi dan basmathi yang juga diimport.

Termizi menambah, bagi setiap satu tan padi yang diproses, biasanya hanya 50 peratus menghasilkan beras, kecuali di Selangor yang menghasilkan peratusan padi kepada beras mencapai 65 peratus.

Satu lagi faktor halangan ialah apabila kilang gagal memenuhi kuota memproses BPT sebanyak 20 peratus kerana ia tidak menguntungkan, sebaliknya menumpukan kepada pengeluaran beras import yang lebih tinggi harganya.

Difahamkan, pihak berkuasa memperuntukkan kuota 20 peratus pengeluaran BPT kepada setiap kilang bagi memastikan beras tempatan bersubsidi terus berada di pasaran.

Di peringkat pengilang dengan pemborong pula, ada yang enggan membungkus PBT disebabkan keuntungan yang diperoleh amat kecil.

Pengerusi Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Zon Selatan, Khalil Ahmad mengakui segelintir pekilang enggan membungkus BPT.

"Bagi sekampit beras tempatan dengan berat 10 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM26, mereka hanya memperoleh keuntungan sekitar 50 sen," katanya.

Beliau berkata, situasi itu membuatkan pemborong dan peruncit lebih berminat membungkus beras import yang harganya jauh lebih tinggi pada waktu ini.

"Rata-rata sekarang harga beras import di pasaran adalah antara RM39 hingga RM45 untuk pek 10kg.

"Yang kritikal nanti apabila bekalan BPT sudah stabil dan masa yang sama harga beras import akan turun apabila permintaannya berkurangan, jadi kerajaan disyor beri subsidi bagi menampung kos pengeluaran BPT iaitu sekitar RM4 bagi setiap kampit beras 10kg," katanya.

Khalil juga mengakui faktor orang tengah turut menjadi punca kekurangan BPT apabila ada di antaranya membeli secara pukal.

"Ada persatuan restoran dan peniaga yang bermodal besar yang membeli secara pukal terus dari kilang. Masalahnya, mereka beli BPT yang sudah kurang bekalannya terus dari kilang dan dengan itu bekalan BPT tidak sampai kepada pengguna atau golongan sasar," katanya.

Selain itu, katanya ketirisan BPT di sempadan negara juga menyumbang kepada kekurangan bekalan beras.

Di peringkat peruncit ke pengguna pula, sumber mendedahkan kekurangan BPT di pasaran juga dikaitkan dengan tindakan kilang menukar kampit BPT kepada beras putih import (BPI) untuk mengaut keuntungan.

"Pengilang beli beras bukan macam pengguna yang dah siap pek, mereka yang asingkan gred dan bungkuskan beras.

"Pengguna pula tidak tahu bezakan gred beras, mereka hanya melihat pada label bungkusan sahaja," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Dr N Marimuthu, mahu pihak berkaitan menjelaskan ke mana pergi BPT yang sering didakwa tidak mencukupi.

Beliau mempersoalkan siapa yang bercakap benar dalam isu kekurangan BPT.

"Kalau BERNAS kata sudah tingkatkan kapasiti pengeluaran, mengapa kilang beras kata tidak ada bekalan mencukupi, jika banyak beras (BPT) yang dihasilkan, mengapa pengguna masih menghadapi masalah mendapatkan bekalan BPT dengan harga yang ditetapkan" katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku pada masa ini ialah semua pihak menunding jari antara satu sama lain.

"Tidak kira siapa cakap apa, berapa banyak dikeluarkan oleh pihak mana, hakikatnya bekalan BPT sukar didapati di pasaran, siapa yang boleh selesaikan masalah ini.

"Penguat kuasa kena lebih teliti, lebih proaktif. Wujudkan kerjasama antara bahagian Kawal Selia Padi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), turun padang dan semak semua tempat bukan pergi lihat di kilang berdaftar.

"Mereka (kartel) buat kerja takkan buat di kilang rasmi," katanya.

Selain itu, Marimuthu tidak menolak kemungkinan berlaku ketirisan BPT di sempadan.

"Di negara jiran, Thailand harga beras lebih mahal, mungkin ada ketirisan di mana-mana, mereka kena pantau dan lebih berdisplin," tegasnya.

Berita Harian X