CAMERON HIGHLANDS: Seorang pendaki warga India ditemukan maut setelah dilaporkan hilang di Gunung Jasar di sini sejak 22 September lalu, sebelum mayatnya dibawa turun menggunakan helikopter, hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mayat mangsa, Nandan Suresh Nadkarni, 44, dibawa turun dengan menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Ipoh pada jam 11.20 pagi tadi.
Semalam operasi membawa turun mayat mangsa gagal disebabkan faktor muka bumi.
"Mayat mangsa ditemui jam 3.40 petang semalam di anak sungai berhampiran Pos Atap, dan jaraknya sekitar enam kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di kaki Gunung Jasar.
"Hasil siasatan polis mendapati ketika mangsa turun dari puncak Gunung Jasar, dia telah tersasar dari laluan asal menyebabkannya sesat jauh ke dalam hutan dan melepasi sempadan negeri Perak," katanya pada sidang media, hari ini.
Susulan laporan kehilangannya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar Tanah Rata mendapati mangsa keluar dari hotel sendirian untuk melakukan aktiviti mendaki di Trail 10 Gunung Jasar kira-kira jam 9 pagi 22 September lalu.
Operasi SAR itu membabitkan 101 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), badan bukan kerajaan (NGO), Malim Gunung Cameron Highlands, dan Radio Communication and Recreation Club.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Rakan mangsa yang berada di sini sejak SAR dilancarkan juga telah diberitahu untuk tujuan pengecaman mayat.
"Hasil semakan polis turut mendapati mangsa ada memberitahu rakannya bahawa beliau pergi mendaki dan sampai di puncak Gunung Jasar, namun tidak pulang ke hotel dan tidak mendaftar keluar," katanya.
Beliau berkata, Nandan Suresh yang bekerja sebagai aktuari, mendaftar masuk ke hotel di Tanah Rata pada 19 September lalu dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.
"Kita juga dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai program persidangan di Kuala Lumpur pada 25 September lalu dan beliau mengambil keputusan melawat Cameron Highlands terlebih dahulu untuk melakukan pendakian.
"Hasil semakan di tempat mangsa menginap mendapati barangan peribadi miliknya seperti pasport, komputer riba, dompet serta pakaian, masih berada di dalam bilik dan mangsa mendaftar masuk seorang diri," katanya. – BERNAMA