KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendahului senarai 772 penerima pengurniaan kehormatan kebesaran negeri sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-54 dengan dikurniakan Datuk Bergelar.
Pada istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar, hari ini, Mohd Amar dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Sri Amar Diraja.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman dikurniakan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK).
Pada istiadat sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Aminuddin Hassim dikurniakan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk.
Lima individu dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun; Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Datuk Norazman Abd Ghani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin@ Syed Hussin dan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Roslan Abu Bakar.
Selain itu, sembilan penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk adalah Pengarah Urusan Husin Yacob Trading Sdn Bhd, Hassan Hussin; Pengarah Urusan Kumpulan UEM Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Berhad, Mohd Muazzam Mohamed; Pengerusi Eksekutif Jurukur Teguh, Mohd Apandi Mohamad.
Penerima lain DJMK ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Lumba Kuda Selangor, Fong Chee Pong; Pengarah Urusan Megah Herba (M) Sdn Bhd, Khairilaziry Wahid; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Dr Mohammad Hanis Osman; Pengurus Besar Kumpulan Operasi Attana Hotels & Resort, Muhammad Taha Zainal dan Ketua Pakar Bedah Veterinar, Dr Shri Kanaesalingam.
Turut menerima gelaran Datuk adalah Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brig Jen Azudin Hassan; Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Azhan Md Othman; Panglima Tentera Darat, Datuk Muhammad Hafizuddin Jantan; Inspektor Jeneral Tentera Darat, Mej Jen Sarman Bahrom dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK).
Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK), seramai 15 penerima menerima gelaran Datuk termasuk Ketua Hakim Syarie Kelantan, Ibrahim Deris; Pakar Perunding Perubatan Respiratori Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Mat Zuki Mat Rejab, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz; Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Rosnazli Amin dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Dr Mohd Azman Yacob.
Sementara itu, penerima tunggal bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Aidid Tajuddin.
Enam individu lagi dilantik sebagai Jaksa Pendamai.