Jumaat, 29 September 2023 | 3:35pm
Hanya beras import kelihatan di sebuah pasar raya di Sungai Balang, Muar susulan kekurangan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) sejak beberapa minggu lalu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Hanya beras import kelihatan di sebuah pasar raya di Sungai Balang, Muar susulan kekurangan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) sejak beberapa minggu lalu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

'Mana pergi beras tempatan, minyak masak?'

MUAR: "Kami di sini sudah sebulan tak nampak beras tempatan, yang ada beras import," kata Zainab Ali, 49, susulan ketiadaan beras tempatan di sekitar Sungai Balang serta kawasan berdekatan.

Malah, katanya, bekalan minyak masak paket juga sudah lama tidak kelihatan sejak beberapa minggu lalu.

"Kalau cari sekitar Sungai Balang atau mana-mana kawasan memang tiada. Kami di sini berhadapan masalah kekurangan bekalan beras tempatan, minyak masak dan gula.

"Ini bukan baru berlaku tetapi sudah berminggu-minggu, gula kalau ada pun bekalan tidak banyak. Kami harap pihak berkuasa selesaikan masalah ini.

"Bayangkan penduduk di sini bukannya berkemampuan sebahagian besar bekerja kampung. Untuk beli beras import mungkin berfikir dua kali atau pun terpaksa," katanya ditemui, hari ini.

Bagi peniaga, Jamilah Saleh, 55, dia berhadapan masalah menggunakan beras import untuk menghasilkan jualan pagi seperti ketupat nasi.

"Sebelum ini, kami menggunakan beras tempatan dan ketupat nasi menjadi tapi bila guna beras import, ia jadi lembik. Banyak kali kami cuba tapi tetap berlaku perkara sama.

"Nak tak nak, terpaksalah beli beras import. Kami tiada pilihan selepas bekalan beras tiada," katanya.

Sementara itu, ADUN Sungai Balang, Selamat Takim, berkata beliau akan mengajukan perkara itu kepada pihak berkaitan. Beliau juga sudah membuat pemeriksaan dan mendapati tiga barang keperluan terbabit sukar diperoleh.

"Bekalan beras tempatan memang sukar didapati di kawasan saya. Selain itu, gula dan minyak bersubsidi juga terhad, saya mahu ajukan perkara ini kepada pihak berkenaan," katanya.

Berita Harian X