Rabu, 27 September 2023 | 12:05pm
Keratan akhbar BH 14 September lalu.
Keratan akhbar BH 14 September lalu.
Kerajaan pastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan mengikut prosedur ditetapkan. - Foto Hiasan.
Kerajaan pastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan mengikut prosedur ditetapkan. - Foto Hiasan.

Nilai NR-REE Malaysia boleh cecah RM747.2b

Kuala Lumpur: Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dianggarkan berjumlah 15.2 juta tan dengan nilai pasaran semasa boleh mencecah sehingga RM747.2 bilion (AS$182 bilion).

Anggaran nilai sumber NR-REE yang tinggi dimiliki negara ini membolehkan negara berpotensi membuat pelaburan dalam industri berkenaan, sekali gus memberi pulangan berlipat ganda kepada ekonomi negara.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, data khazanah galian NR-REE negara itu diperoleh hasil daripada kajian tinjauan yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Katanya, taburan sumber NR-REE berkenaan membabitkan beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Usaha kerajaan dalam membangunkan industri perlombongan NR-REE di Malaysia sudah bermula sejak 2019 dan ketika itu, kerajaan berpandangan untuk memastikan industri berkenaan dibangunkan secara menyeluruh.

"Kita berpendapat kerajaan perlu mengukuhkan asas terlebih dulu melalui penyediaan dasar yang jelas dan komprehensif, kini kerajaan dalam tindakan untuk menerokai potensi mineral terbabit," katanya kepada BH.

Susulan itu, katanya, sepanjang tempoh empat tahun lalu, pelbagai inisiatif sedang dan sudah diusahakan kerajaan, antaranya dalam mengenal pasti sumber yang dimiliki negara itu adalah benar-benar bebas dan selamat daripada unsur radioaktif yang berbahaya.

"Melihat kepada situasi yang berlaku antaranya berkaitan isu kebocoran unsur radioaktif di Bukit Merah pada awal 1980-an dan isu pencemaran bauksit di Pahang, ia membuka mata kerajaan bahawa industri NR-REE perlu dibangunkan secara bertanggungjawab dan mampan.

"Susulan itu, kerajaan membangunkan dokumen prosedur operasi standard (SOP) NR-REE yang bertujuan memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara teratur dan cekap, serta mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Tiada impak negatif 

Pemakaian SOP berkenaan kali pertama digunakan bagi aktiviti perlombongan NR-REE di tapak projek perintis di Mukim Kenering, Hulu Perak.

"Sehingga kini, aktiviti yang dijalankan dilihat tidak memberi impak negatif khususnya kepada alam sekitar.

"NRECC juga sedang mengkaji semula dasar yang berkaitan dalam industri mineral, terutama berkaitan perlombongan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kawasan rizab perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

"Bagi tujuan itu, kajian impak berhubung kesejahteraan tanaman atau tumbuhan di kawasan perlombongan projek perintis akan dijalankan untuk meneliti kesan akibat suntikan bahan larut resap bagi melombong NR-REE berkenaan," katanya.

Keratan akhbar BH 14 September lalu.
Keratan akhbar BH 14 September lalu.

NRECC juga berkata, perancangan kerajaan terkini adalah untuk membangunkan industri terbabit secara menyeluruh merangkumi pembangunan NR-REE pada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

"Kerajaan tidak lagi ingin mengekalkan industri mineral negara sebagai penyumbang kepada pengeksportan bahan mineral mentah semata-mata. Ia menyebabkan kerugian dalam memberi pulangan yang berlipat ganda kepada ekonomi negara.

"Bagi tujuan itu, NRECC sedang berusaha mewujudkan rantaian nilai yang lengkap melalui pewujudan industri pada peringkat pertengahan dan hiliran.

"Untuk menyokong ke arah pembangunan yang berlandaskan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, penekanan terhadap aspek kitaran ekonomi juga perlu diambil kira supaya Malaysia menjadi hab terpenting seperti mana kejayaan negara dalam membangunkan industri minyak dan gas melalui penubuhan PETRONAS," katanya.

Jika semua perancangan berkenaan dapat direalisasikan, ia akan memberi kesan terhadap limpahan ekonomi melalui pembukaan peluang pekerjaan secara besar-besaran, penarikan pelabur besar sama ada dari dalam dan luar negara, pewujudan tenaga pakar dan tenaga mahir dalam industri NR-REE.

"Bagaimanapun, untuk membangunkan industri terbabit, kerajaan perlu mendapatkan sokongan daripada semua pihak sama ada di kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemain industri dan orang awam.

"Kerajaan berpegang dengan prinsip pembangunan industri mineral khususnya NR-REE akan dilaksanakan secara bertanggungjawab, iaitu tanpa memberi impak negatif kepada alam sekitar, hidupan liar, tumbuh-tumbuhan dan orang awam," katanya.

Berita Harian X