JAKARTA: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyasarkan untuk membina potensi bagi menggerakkan inisiatif silang budaya dan konsep pertukaran koleksi terpilih pada Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2023, yang akan berlangsung esok, di Pameran Konvensi Indonesia (ICE), Bandar BSD, Banten.
Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah, berkata usaha yang digerakkan itu bertujuan untuk memperbanyakkan bahan bacaan berasaskan jati diri nusantara melalui konsep pembelian, peminjaman ataupun pemberian.
Katanya, beliau mahu mengubah pandangan bahawa pesta buku bukan hanya sebagai platform untuk mengangkat penerbitan buku, tetapi ia juga meraikan dan menyebarluaskan kandungan buku dalam pelbagai medium seperti wacana, ulasan buku dan sebagainya.
"Kandungan buku yang meliputi pendidikan, kesenian dan kebudayaan, politik, falsafah dan jati diri bukan saja untuk dilihat dan dibaca secara fizikal, tetapi harus difahami serta dijadikan panduan bersesuaian dalam kehidupan.
"Jadi fokus utama matlamat delegasi kali ini adalah untuk mengangkat jati diri negara serantau melalui perkongsian kepustakaan dan silang budaya bagi dimanfaatkan oleh masyarakat kedua-dua negara," katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan ke Perpustakaan Nasional Republik Indonesia (RI) dan Perpustakaan Jakarta, di sini, hari ini.
Yang turut hadir di Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Kepala Perpustakaan Nasional RI, Muhammad Syarif Bando dan Pengerusi ITBM, Noor Amin Ahmad.
Selain ITBM delegasi Malaysia ke IIBF kali ini adalah kira-kira 21 organisasi lain seperti penerbit universiti, agensi kerajaan dan perpustakaan negeri.
Sakri berkata, penyertaan perpustakaan negeri di IIBF 2023 juga adalah kali pertama dalam usaha membina jaringan hubungan antara perpustakaan Malaysia dan Indonesia sekali gus dapat menggalakkan perkongsian serta pertukaran koleksi serta silang budaya dalam jajaran nusantara.
"Usaha ini selari dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasa budaya kritis melalui pembudayaan ilmu dengan menyediakan kepustakaan yang bervariasi.
"Justeru, penyertaan perpustakaan dan agensi-agensi kerajaan juga diharap dapat mengukuhkan lagi usaha untuk menduniakan karya nusantara bagi membentuk gaya hidup lebih mapan bagi menghadapi pelbagai tentangan perubahan zaman serba canggih ini," katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau yakin dengan hubungan dua negara yang sekian lama terjalin, ditambah persamaan bahasa dan budaya, ia dapat mengembangkan potensi perpustakaan itu dan budaya membaca dalam kalangan rakyat.
"Menerusi persefahaman yang ingin diterokai dan belajar pengalaman bersama antara kedua negara, diharap, satu platform serta kerjasama besar dapat digerakkan untuk mencetuskan satu pandangan yang hebat terhadap kedua-dua negara.
"Sudah tiba masanya kita bersatu dan buktikan kepada dunia demi kestabilan negara kita," katanya.