PUTRAJAYA: Sebarang usaha untuk memecahkan monopoli beras perlu dibincangkan dengan Kementerian Kewangan, Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata konsesi beras ketika ini diberikan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Katanya, tempoh konsesi yang diberikan kepada BERNAS adalah selama 10 tahun bermula dari 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
"Kita ada perjanjian (dengan) BERNAS selama tempoh 10 tahun berdasarkan 10 perkara obligation (syarat) yang perlu dibuat oleh BERNAS dan jika nak buat rombakan (pecah monopoli) itu, mestilah melalui perbincangan membabitkan Kementerian Ekonomi, Kewangan dan juga JPM.
"Ini kerana soal beras, soal makanan adalah (isu) food security (keterjaminan makanan), ia perlu ditangani bersama dan (jika ada cadangan) nak memecahkan monopoli, itu adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia Ke-25 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, semua isu berbangkit berkaitan bekalan beras akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok (hari ini).
"Saya nak lihat agenda (mesyuarat Kabinet terlebih dulu), tetapi saya akan kemukakan perkara baharu yang berlaku (berkaitan isu beras) yang saya akan sampaikan dalam Kabinet," katanya.
Beliau berkata, isu kekurangan bekalan beras yang berlaku ketika ini adalah disebabkan pembelian panik.
"Jangan buat pembelian panik, belilah pada kadar biasa. Jika selalu beli dua kampit tetapi beli empat kampit, kita sudah mengambil hak orang lain. Maka berlakulah kekurangan," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Azman Mahmood dilaporkan berkata, kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam negara adalah disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import.
Peningkatan harga beras putih import memberi kesan kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada beras putih tempatan.