Selasa, 26 September 2023 | 12:41pm

Kurang pakar, fasiliti jejas rawatan pesakit mental

Kuala Lumpur: Berkongsi bilik rawatan, tempoh menunggu temu janji doktor pakar sehingga dua bulan serta diperli oleh kakitangan perubatan ketika mendapatkan rawatan, antara 'pengalaman buruk' yang dilalui pesakit kesihatan mental ketika mendapatkan rawatan di klinik dan hospital awam.

Mendedahkan demikian, bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria, berkata ia ekoran kekurangan fasiliti, selain stigma yang masih menebal dalam kalangan kakitangan perubatan terhadap pesakit kesihatan mental di negara ini.

Justeru, katanya ada pesakit yang akhirnya terpaksa memilih perkhidmatan swasta walaupun ia membabitkan kos rawatan yang mahal.

Beliau berkata, kekurangan fasiliti bagi rawatan mental di hospital awam umpama 'rahsia terbuka' apabila ia sememangnya berlaku, namun tidak diperkatakan di luar.

"Ada pesakit yang mengadu kepada kami bahawa mereka malu dan tidak selesa untuk meluahkan masalah yang mendorong kepada terjejasnya kesihatan mental apabila terpaksa berkongsi bilik yang sama dengan pesakit lain.

"Ia berlaku disebabkan kekurangan bilik rawatan dan bagi mengelakkan senarai menunggu temu janji tertangguh begitu lama, mereka terpaksa menghadapi situasi di mana dua doktor dan pesakit berkongsi bilik yang sama," katanya kepada BH.

Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan, satu pertiga daripada rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas berdepan masalah mental.

Pada 2019, KKM merekodkan 2.3 peratus orang dewasa dan 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan berkenaan dijangka akan terus meningkat.

Permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri di mana terdapat 1,142 kes dilaporkan pada 2021 berbanding 631 kes pada 2020, peningkatan sebanyak 81 peratus.

Foto hiasan
Foto hiasan

Lebih membimbangkan, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada golangan kanak-kanak. Seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di negara ini mengalami gangguan mental dengan 424,000 kanak-kanak di negara ini disahkan mengalami masalah mental.

Mengulas lanjut, Dr Hazli berkata, antara isu kritikal yang perlu diberi perhatian KKM adalah jumlah sumber tenaga yang dilihat terhad yang tidak sejajar dengan pertambahan pesakit mental.

Katanya, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), nisbah sepatutnya antara pakar psikiatri dan pesakit ialah 1:10,000 namun di negara ini, ia hanya berada pada tahap 1:75,000.

Malaysia katanya, mempunyai tidak lebih dari 600 pakar psikiatri sahaja berbanding jumlah sepatutnya kira-kira 3,000.

Tak dapat rawatan efisien

Sementara itu, Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar turut mengakui kekurangan pakar dan infrastruktur di hospital awam memudaratkan lagi isu kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau yang juga pengasas MIASA berkata, ramai pesakit mental tidak berupaya mendapat rawatan yang efisyen, sekali gus menyebabkan masalah itu terus menjadi 'barah' kepada masyarakat.

"Bagi golongan B40, mereka tidak mampu untuk pergi mendapatkan rawatan di perkhidmatan swasta yang mungkin menelan belanja ratusan ringgit setiap kali sesi diadakan.

"Bukan nak cakap hospital kerajaan tidak berkesan, namun disebabkan kekangan tenaga pakar pesakit terpaksa bertarung melawan penyakit mental mereka," katanya.

Malah, beliau berkata, akses bagi mendapatkan rawatan mental didakwa lebih sukar di kawasan pedalaman kerana tiadanya kesedaran serta dari segi penyediaan tenaga pakar.

Katanya, MIASA yang mempunyai 130 pasukan krisis dan 1,400 sukarelawan, menerima 9,936 panggilan daripada individu dengan pelbagai masalah kesihatan berkaitan mental sejak Januari hingga 15 April lalu.

"Bermula Ogos 2020 hingga bulan ini, 130,887 individu dengan pelbagai masalah berkaitan mental menghubungi MIASA untuk mendapatkan bantuan termasuk melalui panggilan, pesanan WhatsApp, media sosial, e-mel dan sesi bersemuka atau secara maya," katanya.

Berita Harian X