MUAR: "Waalaikumsalam."
Sepatah kata itu diungkap Abdullah Amir Rudin, 15, beberapa hari lalu di rumah, susulan dibenarkan pulang selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat sejak 1 September lalu.
Remaja itu adalah mangsa tunggal terselamat dalam kemalangan jalan raya awal yang mengorbankan enam ahli keluarganya, awal bulan ini.
Perkembangan terbaru Abdullah dikongsi abangnya, Abdur Rahman, 19, selepas pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi di Kundang Ulu, Bukit Gambir itu dibenarkan pulang ke rumah neneknya di Parit Lapis Darat, Parit Jawa, beberapa hari lalu.
Susulan kemalangan itu, Abdullah dilaporkan mengalami masalah penglihatan serta pertuturan.
Abdur Rahman berkata, adiknya boleh memahami apa yang ditutur kepadanya namun belum mampu bercakap seperti biasa.
"Pendengarannya tiada masalah cuma penglihatan kabur, mungkin disebabkan hentakan ketika kemalangan.
"Dari segi percakapan, dia memahami apa yang kita sebutkan, cuma dia tidak boleh membalas.
"Beberapa hari lalu, dia ada menyebut 'Waalaikumsalam' selepas ada orang memberi salam. Itulah satu-satu perkataan terkeluar dari mulutnya," katanya ketika ditemui, hari ini.
Abdur Rahman berkata, buat sementara waktu, pihaknya tidak membenarkan sesiapa datang melawat Abdullah atas arahan pasukan perubatan.
"Adik saya perlukan pemantauan rapi sebab dalam proses pemulihan selepas kejadian itu.
"Kalau dia nak sesuatu, dia gunakan bahasa badan, jadi kita kena tanyalah bila dia minta. Pertuturan dia belum jelas, rahangnya patah.
"Saya diberitahu ketika kemalangan, Abdullah tidur di tempat duduk belakang Perodua Alza, mungkin disebabkan itu dia terselamat," katanya.
Sementara itu, Abdur Rahman yang sudah meletak jawatan sebagai bilal, akan menjaga adiknya termasuk membawa untuk rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.
Dalam kejadian jam 6.30 petang pada 1 September lalu, enam sekeluarga terkorban dalam nahas kereta dan lori di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan.
Mereka yang maut ialah Amir Ruddin Ismail, 46; isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43; serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.