KUALA LUMPUR: Seorang menteri yang mengikuti delegasi diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menceritakan situasi sebenar dewan yang dikatakan hampir kosong, sewaktu Perdana Menteri sedang berucap di pentas itu buat kali pertama sejak memegang jawatan tertinggi negara tahun lalu.
Menurut perkongsian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, beliau difahamkan ramai delegasi antarabangsa yang bertindak keluar dari dewan berkenaan ketika giliran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapan.
Ketika giliran Anwar menyampaikan kenyataan negara, beliau berkata, kebetulan keadaan dalam dewan berkenaan sedikit 'lengang' namun ia bukan masalah besar kerana paling mustahak adalah isi kandungan ucapan yang hendak disampaikan di pentas antarabangsa itu.
"Alhamdulillah dapat juga (saya) bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya sangat berbangga menjadi salah seorang menteri yang bersama dalam delegasinya.
"Saya sempat baca berita-berita dan nampak ada komen-komen mengenai dewan kosong ketika Datuk Seri Anwar (Ibrahim) menyampaikan ucapan sulungnya di UNGA.
@drzalihamustafa United Nation General Assembly #MisiUNGA #DrZ ♬ The Champion - Lux-Inspira
"Sebenarnya macam ini, keadaan yang berlaku itu semasa kami masuk...Perdana Menteri Israel sedang menyampaikan kenyataan negara dan memang ketika itu, memang ramai keluar dari dewan berkenaan.
"Jadi kebetulan selepas itu giliran Perdana Menteri (Malaysia) dan ketika itu pun sudah ramai, ada juga beberapa negara sudah masuk kembali (dalam dewan) selepas habis ucapan dari Israel," katanya menerusi perkongsian video di akaun TikTok hari ini.
Oleh demikian, Dr Zaliha berharap dakwaan mengenai dewan kosong tidak diperbesarkan lagi kerana paling penting adalah Perdana Menteri berjaya menyentuh sekali gus menyampaikan isu penting pada persidangan itu.
Selain mendapat tepukan gemuruh delegasi Malaysia, beliau berkata ada delegasi dari negara lain turut sama memberi tepukan kepada Perdana Menteri.
"Alhamdulillah, kita pun sudah dengar ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia adalah ucapan yang sangat bagus.
"Kita mendapat sokongan dan tepukan yang gemuruh bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga rakan-rakan negara lain.
"Itu adalah satu perkara yang saya fikir semua orang patut tahu yang kita sepatutnya rasa bangga. Jangan duduk besar-besarkan sangat isu dewan kosong. Itu biasa sebab kadang-kadang (giliran ucapan) tak kena masa dan sebagainya. Tetapi paling terbaik adalah isi kandungan ucapan tersebut," katanya.