KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberikan lesen borong kepada pengusaha restoran supaya mereka boleh membeli beras putih import (BPI) pada harga borong RM3.20 sekilo daripada Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).
Perkara itu diputuskan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, sebagai usaha jangka pendek kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan (BPT) susulan pengguna kurang membeli BPI kerana harganya yang meningkat.
Setiausaha Akhbar kepada Mohamad, Adeysham Nor, berkata persatuan pengusaha restoran perlu mengemukakan permohonan kepada KPKM untuk mendapatkan lesen borong terbabit.
Beliau memaklumkan sebelum ini, harga BPI jenis standard adalah sekitar RM2.80 hingga RM3.20 per kilogram (kg), iaitu tidak banyak berbeza dengan harga BPT.
Bagaimanapun selepas BERNAS membuat pelarasan harga menjadi RM3,200 satu tan (RM3.20 sekilogram), katanya, pengusaha mula beralih kepada BPT, sekali gus menyebabkan kenaikan mendadak permintaan terhadap beras jenis itu dan membawa kepada kekurangan bekalannya dalam pasaran.
"Pada 15 September lalu, KPKM mengadakan sesi libat urus bersama persatuan peniaga, termasuk pengusaha restoran, mamak, kedai tomyam dan lain-lain.
"Antara perkara yang dibincangkan ialah bagaimana mencari kaedah terbaik untuk membantu setiap ahli persatuan mendapatkan bekalan import pada harga borong.
"Pada sesi itu, KPKM membenarkan pemberian lesen borong kepada pengusaha terbabit. Kita sedang tunggu persatuan memohon lesen itu. Setakat ini, mereka belum memohon lagi," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, BERNAS menyelaraskan harga jualan BPI seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, berkuat kuasa 1 September lalu.
Menurut BERNAS, langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini BPI dalam pasaran antarabangsa.
Ketika ini, BPT pula dijual pada harga kawalan RM2.60 per kg atau RM26 sekampit 10kg. Harga kawalan maksimum BPT pada peringkat pengguna adalah RM2.60 per kg dan ia termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Seterusnya, Adeysham berkata, KPKM juga sudah diarahkan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengkaji penggunaan BPI oleh pembekal tender kerajaan, seperti untuk kem tentera dan sekolah.
"Menteri juga telah mengarahkan pegawai untuk mengkaji jumlah subsidi yang perlu dikeluarkan jika kerajaan ingin mensubsidi BPI.
"Pada masa sama, pengilang turut diminta membekalkan 20 peratus stok beras mereka kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dipasarkan terus ke kawasan luar bandar bagi membantu golongan B40," katanya.