ISU kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dikatakan semakin meruncing susulan pengguna kurang membeli beras putih import (BPI) susulan harganya meningkat sehingga 36 peratus. Krisis kekurangan BPT ini juga dikatakan berpunca kadar pengeluaran padi dalam negara yang rendah, tidak mampu memenuhi permintaan domestik.
Ikuti penjelasan masalah kekurangan bekalan beras di pasaran ini bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Felo Perunding, Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Institut Pertanian Tropika serta Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad.
Soalan (S): Boleh Datuk Seri jelaskan mengapa bekalan beras putih tempatan (BPT) berkurangan?
Jawapan (J): Permintaan tinggi terhadap BPT adalah kesan peralihan permintaan pengguna berikutan peningkatan harga beras putih import (BPI). Ini disebabkan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaksanakan penyelarasan harga BPI di pintu gudang daripada RM2,350 kepada RM3,200 per tan. Penyelarasan ini berikutan tekanan pasaran antarabangsa menerusi kenaikan harga pasaran beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun serta boleh memberikan impak pada peranan BERNAS.
Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenal pasti pembelian panik BPT berbanding biasa beberapa pihak turut menyumbang kepada gangguan pasaran. Oleh itu, antara langkah awal intervensi KPKM ialah menguatkuasakan had maksimum pembelian sebanyak 100 kilogram bagi setiap transaksi individu mulai 7 September lalu.
Selain itu, peruncit enggan menjual kampit BPT berikutan menerima margin keuntungan sekitar 20 sehingga 50 sen sahaja bagi setiap kampit dijual. Oleh itu, peruncit lebih gemar menjual BPI menawarkan kadar komisen lebih tinggi. Setakat ini KPKM tidak menerima bukti jelas mengenai dakwaan berlaku penipuan kampit beras tempatan kepada beras import.
S: Sejauh mana pengumuman peningkatan harga BPI memberi kesan kepada bekalan BPT tempatan?
J: BERNAS menyerap tekanan pasaran antarabangsa sejak 2022 apabila trend kenaikan harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun. Apabila kadar tukaran asing ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) merosot, ia diburukkan lagi sekatan pengeksportan beras putih bukan basmathi India yang juga pengeluar beras utama dunia. Langkah itu diambil kerana India cuba mengekang kenaikan inflasi di negara mereka akibat kenaikan mendadak harga beras tempatan kesan bencana banjir memusnahkan kawasan penanaman padi di utara negara itu.
Namun, BERNAS bersedia dengan mekanisme pengimportan lain sekiranya berlaku risiko perdagangan antarabangsa seperti meningkatkan bekalan pengimportan BPI dari negara lain dan berunding dengan negara melaksanakan had eksport BPI. Terkini BERNAS berusaha mendapatkan bekalan dari Pakistan.
S: Ada sebarang perancangan untuk meningkatkan pengeluaran BPT susulan tahap sara diri (SSL) beras negara kini di paras 62 peratus sahaja?
J: Berdasarkan penggunaan beras per kapita sebanyak 79 kilogram setahun, kerajaan berusaha keras memenuhi permintaan beras tahunan sebanyak hampir 2.5 juta tan. Apabila keluasan tanaman padi kurang daripada sejuta hektar berbanding keluasan berbelas juta hektar kawasan penanaman padi negara Asia Tenggara, kerajaan masih mampu membekalkan BPT pada kadar harga termurah RM2.60 per kilogram (kg) di rantau ini. Menyedari kekangan keluasan bertanam, kerajaan fokus pelaksanaan pelbagai program peningkatan pengeluaran padi seluruh negara.
Antara program itu adalah SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) menyasarkan kawasan pasel padi seluas 150,000 hektar semusim dengan sasaran pengeluaran hasil padi 7.0 tan per hektar. Selain itu, kita mewujudkan kerjasama pintar awam-swasta antara KPKM dan 27 syarikat peneraju ini sedang menghasilkan beberapa pencapaian menakjubkan meskipun hanya bermula pada 2021.
Terkini, SMART SBB bagi model 'Ala Sekinchan' mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi dengan melaksanakan amalan pertanian baik dari kawasan Sekinchan, Selangor. Menerusi penggunaan jentera terkini seperti jentera tanam dan penggunaan dron pertanian, projek rintis di Kampung Lat 1000, Perlis berjaya mengeluarkan hasil padi sebanyak 10.45 tan per hektar, berbanding 7.0 tan sebelumnya.
Kita turut melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui MARDI, institut pengajian tinggi (IPT) serta badan penyelidikan berkaitan untuk penghasilan benih boleh dituai dalam tempoh kurang 75 hari serta benih lebih berdaya tahan dengan cuaca ekstrem serta mempunyai tahap toleransi kepada pengairan lebih fleksibel berdasarkan situasi semasa seperti ketahanan terhadap air masin. Kita melaksanakan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun diterajui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), BERNAS dan agensi lain.
Projek ini membabitkan kawasan 491.99 hektar di kawasan jelapang dan luar jelapang di Kedah dan Perak membabitkan penyertaan 341 pesawah. Bagi memperluas program ini secara berperingkat di seluruh negara, kerajaan menaik taraf sistem pengairan tersier di kawasan Muda, Kedah bernilai RM3 bilion. Berdasarkan kepada konsep ABC iaitu A – 'air', B – 'Bantuan kerajaan' termasuk baja dan C – 'cahaya matahari' sebagai komponen penting penanaman padi, kementerian yakin usaha ini mampu melonjakkan lagi pengeluaran hasil padi negara.
S: Adakah kementerian akan wujudkan mekanisme menyekat warga asing beli BPT bagi menangani isu kekurangan beras di pasaran?
J: Setakat ini, tiada penetapan mekanisme menghalang warga asing beli beras tempatan memandangkan beras adalah makanan ruji bagi semua. Ini adalah hak asasi dan sukar dikawal, mereka (warga asing) juga turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Kita juga tidak bercadang laksanakan pembeli perlu tunjuk MyKad atau guna seperti aplikasi MySejahtera bagi pembelian beras subsidi.
S: Bagaimana dengan sasaran Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030) kadar SSL pengeluaran beras disasarkan ke tahap 80 peratus pada 2030.
J: Sasaran kadar SSL sebanyak 80 peratus ditetapkan berdasarkan pelbagai faktor berlaku dalam tempoh DAN 1.0 2011-2020 seperti prestasi pengeluaran padi terdahulu, ketersediaan infrastruktur pengairan dan saliran. SSL beras negara berlegar pada kadar sekitar 60 sehingga 65 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Ia masih dianggap baik berlatar belakangkan kedudukan sosioekonomi negara amat mencabar seperti penularan wabak COVID-19 dan impaknya kepada perdagangan dunia serta ketidakstabilan geopolitik serantau antara Russia dan Ukraine masih berterusan.
S: Perlukah subsidi diberikan berasaskan output atau pengeluaran, bukan lagi berasaskan keluasan tanah tanaman padi?
J: Berdasarkan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2019, sebarang penarikan subsidi dan insentif berkaitan padi serta beras akan berisiko menjejaskan industri secara keseluruhan. Ini memandangkan kesemua subsidi input adalah mewakili hampir 60 peratus daripada kos penanaman padi bagi setiap hektar. Namun, bagi tempoh jangka panjang, KPKM berhasrat melaksanakan peralihan subsidi input kepada subsidi output bagi menggalakkan pesawah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan kadar subsidi output iaitu Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan pada 8 Ogos lalu adalah permulaan kepada perkara ini. Ini akan mewujudkan self regulated industry secara beransur-ansur mengurangkan pembabitan dan pemantauan kerajaan dalam rantaian pengeluaran padi.
S: Bagaimana dengan dasar apungan harga BPT dan digantikan dengan subsidi tersasar kepada golongan miskin?
J: Saya melihat dasar apungan adalah terbaik untuk memastikan bekalan sentiasa stabil dan membolehkan lebih banyak syarikat serta anak muda mahu terbabit dalam industri ini. Bagaimanapun, dasar apungan harga perlu dibuat sekali dengan dasar subsidi bersasar supaya golongan B40 dan M40 tidak terbeban. Namun, sebarang keputusan bagi memperkenalkan dasar apungan harga BPT dan subsidi tersasar kepada golongan berpendapatan B40 membabitkan banyak kementerian serta perlu meneliti beberapa aspek termasuk pemulihan ekonomi, kedudukan fiskal kewangan negara, ketegangan geopolitk serantau di antara Russia dan Ukraine dan sebagainya.
Selain itu, ia juga perlu mengambil kira keberkesanan pelbagai program peningkatan hasil padi sedang dan akan dilaksanakan KPKM antaranya SMART SBB kini berjaya meningkatkan purata pengeluaran hasil padi daripada bawah empat tan per hektar kepada enam tan per hektar.
S: Pengeluaran padi dikaitkan dengan isu dasar guna tanah, wajarkah kerajaan negeri diberikan insentif jika keluasan guna tanah bagi padi ditingkatkan?
J: Sehingga kini, KPKM tidak mempunyai sebarang peruntukan khas atau insentif fiskal sebagai pampasan kepada pengekalan kawasan jelapang kerajaan negeri.
Namun, KPKM sentiasa berhubung dengan kesemua kerajaan negeri untuk mengekalkan kawasan penanaman padi atas dasar keterjaminan bekalan beras negara di pelbagai platform seperti Mesyuarat Menteri Pertanian dengan EXCO Pertanian Negeri diadakan sebanyak dua kali setahun.
S: Adakah kementerian akan wujudkan insurans bagi tanaman padi bagi berhadapan risiko bencana alam dan ketidak tentuan harga?
J: KPKM akan melaksanakan skim takaful bagi tujuan perlindungan menyeluruh untuk petani, penternak dan nelayan dalam industri agromakanan negara. Sebagai permulaan, KPKM akan melaksanakan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) khusus bagi sektor tanaman padi dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP). Ia menawarkan perlindungan lebih baik berbanding TBTP yang lebih terhad kepada pesawah mengalami pengurangan pengeluaran hasil padi akibat pelbagai faktor seperti bencana alam dan sebagainya.
S: Ada cadangan supaya penguatkuasaan mengenai beras diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)?
J: Tiada keperluan penguat kuasa KPDN diberikan perluasan kuasa mengikut Sub Seksyen 6(1) Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522). Ini memandangkan KPKM masih mampu melaksanakan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan dalam rantaian bekalan beras dengan 194 anggota Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara. Jumlah penguat kuasa yang ramai tidak menyelesaikan masalah sekiranya ia tidak ditangani pada peringkat atau punca sebenar perkara ini.
Industri padi negara perlu berdaya tahan harungi cabaran
Soalan: Apa punca Malaysia mengalami masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT)?
Jawapan (J): Malaysia mengeluarkan 70 peratus keperluan beras sendiri. Namun apabila dilanda krisis, BPT kurang atau tiada dalam pasaran. Gejala ini berlaku kerana dua faktor. Pertama, India melaksanakan dasar menyekat eksport beras putih sejak 20 Julai lalu bertujuan mengelakkan kenaikan harga bagi melindungi pengguna miskin di negaranya. Langkah itu juga dilaksanakan kerana India mahu memastikan kecukupan bekalan beras domestiknya susulan ancaman cuaca terutama el-Nino.
Tindakan ini turut dilaksanakan sebagai strategi parti politik pemerintah, Parti Bharatiya Janata bagi memancing undi rakyat apabila pilihan raya dijangka dilangsungkan Mei tahun depan. Tindakan India menyekat eksport beras putih memberi impak besar kepada pasaran beras dunia kerana eksport India dalam perdagangan beras dunia adalah 40 peratus atau 22 juta tan dieksport kepada 140 negara. Bererti sebanyak enam juta tan atau 27 peratus beras putih tidak di jual dalam pasaran dunia. Ini memberi impak besar kepada bekalan beras dunia dan pengimport beras utama seperti Indonesia, Filipina, Malaysia dan beberapa negara Afrika.
Kedua, perbezaan di antara harga beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) menggalakkan amalan campuran kedua beras itu bagi mengaut keuntungan. Kegiatan ini menyebabkan BPT berkurangan dalam pasaran domestik. Amalan mencampur beras ini bukan perkara baharu, malah sudah lama dilaksanakan. Dalam pasaran tempatan, peniaga mencampurkan beras hancur seperti SST 10 peratus atau ST 15 peratus dengan beras SST 5 peratus.
Peniaga juga mencampur BPT dengan BPI terutama apabila harganya melebihi harga beras tempatan. Untuk mengawal amalan ini adalah sulit kerana ia membabitkan ramai tenaga pegawai merinyu untuk pemeriksaan dan pemantauan di setiap rangkaian bekalan beras.
S: Adakah kekurangan bekalan ini disebabkan ada negara pengeluar tidak mahu mengeksport beras?
J: Betul. Apabila krisis bekalan beras di pasaran antarabangsa berlaku, kebanyakan negara memilih untuk melindung rakyatnya bagi memastikan bekalan tempatan mencukupi dan ini dilaksanakan dengan menyekat eksport.
Di Thailand, sebaik sahaja India mengumumkan penyekatan import berasnya, harga beras di Thailand meningkat 20 peratus kepada AS$579 setiap tan. Jika keadaan menjadi serius, berkemungkinan besar negara lain akan mengambil langkah sama mengutamakan kepentingan pengguna domestik seperti berlaku dalam krisis beras 2008.
S: Apa tindakan perlu di ambil kerajaan untuk mengatasi kekurangan bekalan beras ini.
J: Pertama, rundingan kontrak bekalan perlu dilaksana dengan negara pengeksport beras masih memiliki lebihan untuk eksport seperti Kemboja, Myanmar dan Brazil. Kerajaan juga perlu memantau simpanan stok beras negara supaya ia digunakan dengan betul.
Ketiga, kerajaan perlu mencatu penjualan kepada pengguna jika situasi bekalan adalah serius dan seterusnya kerajaan perlu mengawal campuran beras melalui aplikasi dalam talian yang mana pengguna boleh membuat aduan ke atas penjual mencampur beras. Selain itu, tindakan undang-undang ke atas peniaga menjual beras campuran.
Oleh itu, pangkalan data komprehensif perlu dibina merangkumi pengeluar, pengilang dan peniaga, kuantiti dan kualiti beras dijual serta maklumat lain berkaitan. Pengguna juga perlu diberi maklumat cara membezakan beras tempatan dan beras import. Keempat kerajaan perlu memastikan ketelusan data, kecekapan agihan di pelbagai tahap rantaian bekalan, teknologi rantaian perlu dilaksanakan.
S: Selain pengeluaran dalam negara ditingkatkan, apa lagi isu perlu ditangani dalam sektor padi dan beras ini?
J: Pertama, keperluan untuk memastikan kelestarian daripada segi ekonomi dan penggunaan sumber asli seperti tanah dan air. Kualiti tanah sawah didapati sudah menurun kesan daripada penggunaan baja kimia berulang-ulang setiap musim. Begitu juga kualiti air dalam sawah terjejas akibat baja kimia dan penggunaan pelbagai racun. Kedua, sektor beras juga perlu berdaya tahan untuk mendepani cabaran seperti perubahan cuaca, penyakit dan juga kejutan dalam pasaran antarabangsa.
Ketiga, pulangan rendah kepada pesawah, iaitu 90 peratus petani adalah dalam golongan B40. Apabila pendapatan rendah, maka ini mendorong petani keluar daripada kerja sawah dan menceburi bidang memberi pendapatan lebih tinggi. Sektor ini akan pupus seperti berlaku kepada sektor koko, kopi dan kelapa.
Keempat, isu struktur pasaran tidak berubah selama lima dekad iaitu ekosistem pasaran mencengkam peluang ekonomi petani, sama ada mobiliti menegak mahupun mendatar. Ini berlaku kerana setiap tahap rantaian bekalan, pasaran adalah berpusat iaitu wujud sebilangan kecil peniaga merangkumi pengilang, pemborong dan pengimport memiliki syer pasaran besar, membolehkan mereka mengaut untung lumayan berbanding petani.
Ciri pasaran berpusat ini adalah pemusatan agihan baja dan input di bawah satu agensi iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) selama lima dekad, terdapat hanya 12 pembekal benih, bilangan pengilang menurun kepada 170 berbanding hampir 2,000 dalam 1970-an, bilangan pemilik jentera tuai kecil, usaha sama BERNAS dan kilang dalam pembelian padi dengan pemilikan pasaran beras 35 peratus dan monopoli beras menerusi pemilikan saham 30 peratus.
Struktur pasaran berpusat dan monopoli ini menyekat persaingan, tidak cekap dan agihan keuntungan memihak kepada mereka berbanding dengan pengeluar.
S: Patutkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diberi kuasa mengawal selia industri beras?
J: Penguatkusaan perlu dibuat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). KPKM lebih mahir dan berpengalaman mengenai selok belok industri, memiliki jaringan rapat dengan pemain industri seperti BERNAS, peruncit, pemborong, pengilang, petani dan pengguna.
S: Bagaimana subsidi bersasar untuk beras ini boleh dilaksanakan untuk rakyat miskin?
J: Mengikut Jabatan Perangkaan, pengguna berbelanja secara purata sebanyak RM44 sebulan untuk membeli beras, iaitu nilai boleh dianggap kecil. Harga beras iaitu RM2.60 per kg ditetapkan pada 2019 sehingga kini. Harga beras di Malaysia adalah terendah di ASEAN. Sebaliknya, sejak kebelakangan ini kos pengeluaran meningkat dengan besar. Maka, harga beras tidak mencerminkan kos pengeluaran sebenar jika diambil kira masalah inflasi harga, kenaikan kos pengeluaran dan kos kepada kerosakan alam. Justeru, harga padi dan runcit beras perlu disemak semula bagi mencerminkan kos pengeluaran sebenar.
Namun, pengguna daripada golongan miskin tegar perlu bantuan dalam bentuk subsidi bersasar. Model e-Kasih boleh dijadikan rujukan yang mana sebelum subsidi diagihkan, pangkalan data pengguna miskin tegar dibina. Data boleh diambil dari Mysejahtera namun ditambah maklumat seperti pendapatan, kerjaya, perbelanjaan beras dan sebagainya. Subsidi boleh dimasukkan terus kepada akaun mereka.
Kaedah pembelian beras juga boleh dilakukan dengan menunjukkan MyKAD atau aplikasi MySejahtera supaya warganegara saja menikmati subsidi beras.
S: Ada cadangan supaya subsidi sawah diberikan berdasarkan hasil pengeluaran, bukan saiz bendang. Apa pandangan Prof?
J: Betul. Bermaksud subsidi input digantikan dengan bayaran subsidi output yang mana nilainya merangkumi nilai subsidi input. Sistem baucer juga boleh dilaksanakan untuk petani membeli input. Untuk tujuan ini, agihan berpusat dibuka supaya lebih ramai pembekal baja mengambil peluang dalam pasaran termasuk petani sendiri.
Sistem ini mempunyai faedah seperti memberi peluang kepada petani membuat keputusan terbaik untuk sawahnya, dapat menjimatkan kos dan meningkatkan keuntungan. Pesawah juga dapat meminimumkan kos agihan baja berpusat kerana boleh membeli terus baja sendiri.
Ia juga meminimumkan masalah urus tadbir dan korupsi di samping menggalakkan pertumbuhan industri baja tempatan dan kemasukan usahawan baharu dalam sektor ini. Ia juga meningkatkan daya keusahawanan dan berdikari pesawah serta menggalakkan budaya mandiri mereka.