Ahad, 24 September 2023 | 12:53am
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. NSTP/Syaharim Abidin
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. NSTP/Syaharim Abidin

Sanusi perlekeh PM ketika sampai Kenyataan Negara di New York

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memperlekeh penampilan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York semalam yang disifatkannya sebagai hambar dan gagal mendapat perhatian pemimpin dunia.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata situasi dewan yang lengang ketika Anwar berucap menyampaikan Kenyataan Negara malam semalam, cukup memalukan.

"Orang buat perbandingan, ucapan Perdana Menteri ke-9 (PM9) (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dengan ucapan PM10 di UNGA. Apa bezanya?

Datuk Seri Anwar Ibrahim di UNGA ke-78 di New York.
Datuk Seri Anwar Ibrahim di UNGA ke-78 di New York.

"Bezanya masa PM9 berucap orang ramai tetapi masa PM10 berucap di UNGA orang tak ada.. yang ada pun delegasi Malaysia sahaja.

"Kenapa tak ada orang? Sebab orang luar pun tahu dia kuat membohong, daripada dengar lebih baik keluar. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut malu kerana ketika berucap di UNGA orang tak mahu dengar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, di Bentong, malam ini. Ceramah berkenaan disiarkan secara langsung pada akaun Facebook TV PAS.

Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili BN, Kasim Samat (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober ini manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.

Dalam ucapannya itu, Muhammad Sanusi turut menyindir penampilan Anwar ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre of New York (ICCNY).

"Khutbah itu rukun, kalau bukan rukun, rasanya tak ada yang nak dengar di masjid itu," katanya.

Muhammad Sanusi turut meminta pengundi di DUN Pelangai supaya sedar bahawa gagasan dibawakan Anwar, Malaysia MADANI sebagai kosong dan tak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat.

"Kita di Malaysia ini kata, Malaysia Madani ada isi, tetapi bagi cerdik pandai yang hadir ke UNGA, mereka tahu ungkapan MADANI yang digagaskan itu tak ada isi, tinggal pembalut sahaja.

"Isi MADANI apa? Pertama, beras tempatan tiada, hilang di pasaran, tinggal beras import yang daripada harganya RM24 kini jadi RM52, jadi mahal pula beras kita.

"Apa erti Malaysia MADANI jika negeri dipimpin pembangkang dia tak layan, jumpa pun dia tak mahu," katanya.

Berita Harian X