Jumaat, 22 September 2023 | 7:58pm
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat reruai pada Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya Kuching Sarawak. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat reruai pada Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya Kuching Sarawak. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Buka skim padi berskala besar, Sarawak perlu peruntukan RM1 bilion

KUCHING: Sarawak memerlukan peruntukan RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina tali air bagi membangunkan kawasan skim penanaman padi di Banting, Sri Aman.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pembukaan kawasan skim penanaman padi berskala besar itu adalah hasil perbincangan antara pihaknya dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Selain Banting, Abang Johari berkata, beberapa kawasan lagi dikenal pasti akan dibuka untuk skim penanaman padi iaitu di Stumbin-Bijat, juga di Sri Aman: Lubok Punggur, Gedong dalam daerah Simunjan dan Tanjung Purun di Lundu.

"Secara keseluruhan apabila dicampur, semua kawasan di Banting, Stumbin-Bijat, Lubok Punggur dan Tanjung Purun dianggarkan seluas 5,000 hektar.

"Kita boleh membuka kawasan itu untuk tanaman padi berskala besar tapi dengan syarat, tali air mesti dibina untuk memastikan projek itu membuahkan hasil yang diharapkan, kerana padi tidak akan menjadi kalau tiada parit dan tali air sempurna," katanya.

Abang Johari berkata demikian selepas merasmikan merasmikan Agrofest Sarawak 2023 di Dataran Perayaan, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Pada 17 September lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Persekutuan sudah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak untuk pelaksanaan projek penanaman padi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu dipersetujui secara prinsip oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, namun pelaksanaannya memerlukan sedikit masa.

Justeru, katanya, beliau sudah memaklumkan keperluan Sarawak untuk mendapatkan peruntukan RM1 bilion itu kepada Fadillah untuk dibawa dalam mesyuarat kabinet Persekutuan, bagi membolehkan projek penanaman padi berskala besar dapat dilaksanakan dengan segera.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain pembukaan kawasan padi yang luas, kerajaan Sarawak kini sedang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian penanaman padi variati baharu yang mampu dituai tiga kali dalam tempoh 18 bulan.

"Hasil kajian UPM itu akan kita usahakan penanamannya di Lubok Punggur, Gedong yang saya yakin akan berjaya menambah pengeluaran padi tempatan," katanya.

Berita Harian X