KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat laporan polis terhadap dakwaan tidak benar menerusi hantaran di media sosial yang tular berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) digital, baru-baru ini.
Laporan dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, pagi tadi.
JPJ dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, semakan mendapati hantaran yang dimuat naik di Facebook itu mengandungi maklumat tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
"Laporan polis bertujuan membolehkan siasatan dibuat terhadap pemilik akaun (Facebook) terbabit bagi mengelak perkongsian kenyataan tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan.
"Seperti dinyatakan Menteri Pengangkutan pada 10 Februari lalu, JPJ dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM)," katanya.
Kenyataan itu menyebut, pemilik kenderaan dan pemandu yang digalak beralih daripada dokumen fizikal kepada digital.
"Sepanjang tempoh interim ini, pemilik kenderaan dan pemandu diberi pilihan menggunakan LKM atau LMM dalam bentuk digital atau kekal menggunakan dokumen fizikal.
"Orang ramai yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu bimbang sekiranya ditahan oleh pihak agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan," katanya.
Katanya, semua agensi penguat kuasa terbabit termasuk PDRM sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Sehubungan itu, JPJ menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan.
Sebelum ini, seorang individu mendakwa kebenaran pemilik kenderaan menggunakan dokumen LKM atau cukai jalan digital sahaja adalah satu pembohongan.