Jumaat, 22 September 2023 | 9:47am
 Dr Azman Ibrahim (tengah) bersama pegawai JPV dan penternak pada majlis penyampaian bantuan input penternakan ruminan, semalam. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Dr Azman Ibrahim (tengah) bersama pegawai JPV dan penternak pada majlis penyampaian bantuan input penternakan ruminan, semalam. - Foto NSTP/Baharom Bakar

Keluasan jelapang padi di Terengganu ditingkatkan sekali ganda

MARANG: Kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan menambah keluasan jelapang padi sekali ganda di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata perancangan itu bagi meningkatkan keluasan kawasan jelapang padi daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar.

Katanya, kerajaan negeri bercadang memasukkan 5,000 hektar daripada keseluruhan 7,000 hektar kawasan sawah di luar kawasan jelapang padi dalam projek yang dikenali sebagai Ketara Fasa 2.

"Kita juga sudah mengenal pasti dan akan membuka beberapa lokasi baharu untuk penanaman padi.

"Kita sedang meneliti sawah padi yang berpotensi untuk diperluaskan dengan penanaman padi bagi meningkatkan penghasilan beras," katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi merasmikan Majlis Agihan Bantuan Input Penternakan Ruminan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri peringkat daerah Hulu Terengganu dan Marang di Dewan Sivik Wakaf Tapai, di sini.

Pada majlis itu, Dr Azman menyampaikan bantuan input penternakan ruminan bernilai RM101,395 kepada penternak di Marang, manakala RM111,015 kepada penternak di Hulu Terengganu.

Dr Azman berkata, antara kawasan penanaman padi baharu akan dibuka ialah di Kampung Durian Mentangau, Paya Dadong dan Skim Paya Paman.

"Kita telah membina dan menaik taraf semula sistem pengairan di kawasan berkenaan sehingga mampu diusahakan semula dengan penanaman padi.

"Seluas kira-kira 40 hektar sawah dibuka sebuah syarikat swasta dengan mempraktikkan tanaman padi secara organik di Kampung Durian Mentangau," katanya.

Dr Azman berkata, antara usaha lain akan dilakukan kerajaan negeri ialah meningkatkan kesuburan tanah supaya dapat mempertingkatkan penghasilan pengeluaran padi pada setiap hektar.

"Kawasan yang biasanya hanya menghasilkan tiga tan sehektar akan ditingkatkan kepada lima tan manakala kawasan yang menghasilkan padi lima tan sehektar akan ditingkatkan kepada lapan tan sehektar.

"Kita sudah menaik taraf infrastruktur pengairan, meningkatkan kesuburan tanah dan melakukan kerja perataan tanah sawah," katanya.

Dr Azman berkata, kerajaan juga akan menaik taraf kawasan penanaman padi sekali kepada dua kali setahun, termasuk di beberapa kawasan di Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus.

Berita Harian X