Jumaat, 22 September 2023 | 7:28am
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) menerima cenderahati daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-74 negara itu di Kota Kinabalu. - Foto ihsan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) menerima cenderahati daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-74 negara itu di Kota Kinabalu. - Foto ihsan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah

China kekal rakan dagangan penting Sabah

KOTA KINABALU: China kekal menjadi rakan perdagangan yang penting buat Sabah dengan nilai dagangan meningkat 1.2 peratus kepada RM6.56 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, kerajaan negeri turut berharap lebih banyak aktiviti perdagagan dan pelaburan dari negara itu masuk ke Sabah sejajar kerjasama baik ekonomi dan perdagangan dengan Malaysia.

"China kini adalah rakan dagang terbesar Malaysia dan negara ini juga menjadi antara rakan dagang utama China di rantau Asia Tenggara," katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-74 Republik Rakyat China anjuran konsulat negara itu di Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni turut hadir memeriahkan majlis itu.

Hadir sama ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang.

Hajiji berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengukuh dan menyesuaikan strategi pembangunan Sabah dengan China menerusi rangkuman pemodenan China dengan gagasan Malaysia Madani dan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam sektor pelancongan, katanya kedatangan pelancong dari China mencatat pertumbuhan yang baik sejak pembukaan sepenuhnya sempadan negara itu pada Mac lalu.

"Untuk enam bulan pertama tahun ini, kita merekodkan seramai 17,040 kedatangan pelawat dari China, meningkat 680.6 peratus berbanding 2,188 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ketika ini Sabah dihubungkan terus dengan tujuh bandar utama di China menerusi 54 penerbangan mingguan dan 9,861 kapasiti tempat duduk.

"Kita berharap untuk melihat lebih banyak kesalinghubungan udara bagi meningkatkan lagi ketibaan pelancong China ke Sabah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berbesar hati apabila Sabah kekal menjadi destinasi pilihan kepada pelawat dari China, sama ada untuk bercuti atau urusan perniagaan.

Katanya, peningkatan keseluruhan ketibaan pelawat ke Sabah yang berjumlah 1,198,536 orang antara Januari hingga Jun tahun ini dengan nilai perbelanjaan pelancong yang direkodkan sebanyak RM2.45 bilion adalah petanda baik untuk Sabah.

Jumlah itu katanya mewakili peningkatan sebanyak 69.1 peratus berbanding jumlah pelancong dan hasilnya yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sejajar perkembangan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri melihat ke hadapan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan China khususnya dalam bidang tenaga hijau, pembuatan, pertanian berteknologi tinggi dan pembinaan bandar raya pintar.

Berita Harian X