Khamis, 21 September 2023 | 12:44pm
KWSP bebas dalam menentukan keputusan pelaburannya untuk memberi pulangan mampan kepada 15.9 juta pencarum tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan. Pelaburan dibuat bersandarkan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang ditetapkan setiap tahun melalui Pelan Boleh Ubah Tiga Tahun. - Foto NSTP
KWSP bebas dalam menentukan keputusan pelaburannya untuk memberi pulangan mampan kepada 15.9 juta pencarum tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan. Pelaburan dibuat bersandarkan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang ditetapkan setiap tahun melalui Pelan Boleh Ubah Tiga Tahun. - Foto NSTP

KWSP bebas tentukan pelaburan tanpa campur tangan kerajaan

SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bebas dalam menentukan keputusan pelaburannya untuk memberi pulangan mampan kepada 15.9 juta ahlinya tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan.

Pelaburan dibuat adalah bersandarkan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang ditetapkannya setiap tahun menerusi Pelan Boleh Ubah Tiga Tahun, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kepada BH.

Beliau berkata, mandat pengurus dana persaraan itu sejak ia ditubuhkan ialah memastikan simpanan persaraan ahlinya mencukupi dalam menjalani kehidupan selepas persaraan.

Katanya, setiap keputusan pelaburan dibuat KWSP adalah berdasarkan SAA yang ditetapkan bagi menjamin pulangan mampan kepada pencarum.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persepsi bahawa KWSP tidak mempunyai kebebasan penuh dalam keputusan pelaburannya dan dipengaruhi kerajaan.

Malah, jelasnya, pelaburan dibuat KWSP juga membabitkan sektor strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

"KWSP selalu melabur mengikut SAA yang kita ada. Kita akan tengok berapa banyak untuk diletakkan dalam pendapatan tetap dan berapa banyak untuk ekuiti. Bila ada peluang kita akan melebihkan yang mana boleh dan bersesuaian dengan alokasi aset yang sudah ditetapkan," katanya kepada BH dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP sebagai pengurus dana terbesar di negara ini dengan aset pelaburan hampir RM1.1 trilion sudah pasti menjadi pelabur institusi penting dalam pasaran tempatan.

Dalam tempoh lima tahun lalu, peratusan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah kira-kira 80 peratus.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa meninjau peluang pelaburan dalam pasaran domestik, asalkan ia mampu menjana pulangan baik kepada ahlinya.

Namun, beliau mengingatkan pelaburan KWSP dalam pasaran ekuiti di negara ini tidak boleh terlalu besar kerana ia akan mengehadkan kecairan, sekali gus jadikan pasaran tidak rancak dan kurang menarik untuk tarik pelabur lain menyertainya.

Rancakkan pelaburan

Justeru, katanya, adalah penting usaha semua pihak termasuk kerajaan, Bursa Malaysia dan institusi dana lain untuk merancakkan pasaran untuk menjadikan kecairan dalam pasaran lebih baik.

"Pegangan (pelaburan) KWSP dalam Indeks FBM100 adalah 12 peratus, jika pegangan besar sangat ia boleh mengehadkan pergerakan di pasaran," katanya.

Pada separuh pertama 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, peningkatan sebanyak RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan. Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Sehingga Jun 2023, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1.1 trilion dengan 38.6 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Sementara itu, pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, sudah meningkat RM57 bilion berbanding setahun lalu.

Setakat 2022, kelas aset KWSP merangkumi 42 peratus ekuiti, 47 peratus pendapatan tetap, tujuh peratus hartanah dan infrastruktur, manakala baki empat peratus adalah dalam pasaran wang.

Berita Harian X