KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum dan Dasar Gaji Progresif lebih menguntungkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding menaikkan kadar caruman simpanan, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kadar caruman simpanan KWSP sekitar 11 peratus bagi syer pekerja dan 12 peratus bagi syer majikan adalah tinggi berbanding banyak negara lain yang secara puratanya kurang 10 peratus.
Katanya, kadar caruman simpanan ahli bukan menjadi masalah untuk mencapai paras kecukupan simpanan asas, iaitu RM240,000, tetapi masalah sebenarnya ialah paras gaji yang masih rendah di negara ini.
Jelasnya, dengan paras simpanan asas RM240,000 membolehkan ahli untuk menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara, dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.
"Pada masa ini, hanya 30 peratus ahli aktif mencapai paras simpanan asas RM240,000. Justeru, kami sokong usaha kerajaan meningkatkan paras gaji minimum dan melaksanakan gaji progresif yang dikaitkan dengan produktiviti dan kemahiran," katanya kepada BH dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Pada separuh pertama 2023, jumlah keahlian KWSP meningkat kepada 15.9 juta dengan jumlah ahli aktif mencatatkan paras tertinggi 8.47 juta. Jumlah ahli aktif 8.47 juta itu mewakili 50.2 peratus daripada 16.86 juta jumlah tenaga kerja di Malaysia.
Dalam tempoh itu, pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.
Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023, meningkat 16.8 peratus berbanding RM43.23 bilion pada separuh pertama 2022.
Amir Hamzah berkata, KWSP juga menjalankan kerjasama berterusan dengan pelbagai pihak dalam program perlindungan sosial bagi membantu menggalakkan rakyat Malaysia dari sektor tidak formal untuk mendaftar dengan i-Saraan KWSP.
Beliau berkata, i-Saraan adalah program caruman sukarela yang dibangunkan khas untuk membolehkan pekerja dalam sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan demi persaraan mereka.
Katanya, pada separuh pertama 2023, jumlah ahli berdaftar dengan i-Saraan meningkat kepada 1.07 juta, naik 48 peratus berbanding 725,944 pada separuh pertama 2022.
Di samping menggalakkan ahli menambah simpanan secara sukarela, Amir Hamzah berkata, KWSP juga menyediakan akses kepada kemudahan jaminan pendapatan lain yang berkualiti seperti i-Sayang, yang membolehkan suami memindahkan dua peratus daripada caruman bulanan mereka ke dalam akaun isteri, khususnya yang tidak bekerja atau di luar tenaga kerja, agar mereka dapat membina simpanan jangka panjang dengan KWSP.
Inisiatif i-Lindung
KWSP juga memperkenalkan inisiatif i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli bagi membolehkan ahli membeli produk insurans untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
KWSP juga menumpukan usaha terhadap memperluaskan liputan dengan menggerakkan pasukan bergerak secara aktif untuk mendaftar lebih ramai rakyat Malaysia dengan KWSP dengan sehingga Jun 2023, sebanyak 4,429 aktiviti liputan sudah dijalankan.
Melihat bagaimana isu kecukupan simpanan memberi kesan terhadap kesejahteraan ahli KWSP ketika memasuki usia emas, KWSP sudah memperkenalkan kempen Jom Tambah untuk menggalakkan ahli menambah simpanan mereka secara sukarela.
Pada separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 daripada 393,966 pada separuh pertama 2022.
Jumlah caruman terkumpul mencapai RM3.93 bilion pada separuh pertama 2023, meningkat 46 peratus berbanding RM2.7 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, bilangan ahli sektor formal memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 31,128 pada separuh pertama 2023, berbanding 9,765 pada separuh pertama 2022.