Khamis, 21 September 2023 | 7:00am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Restoran Ali Maju, Mydin terus sediakan hidangan Menu Rahmah

KUALA LUMPUR: Beberapa cawangan Restoran Ali Maju sekitar Lembah Klang masih kekalkan hidangan Menu Rahmah kepada pelanggan walaupun harga bahan makanan mengalami kenaikan sejak kebelakangan ini.

Pemilik rangkaian Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, sejak Menu Rahmah diperkenal Februari lalu, pihaknya sehingga kini masih menyediakan hidangan itu kepada pelanggan.

"Bagaimanapun, apabila kos barangan asas dan bahan mentah naik, kita rasa mungkin ada kekangan dalam kalangan pengusaha restoran lain untuk menyediakan Menu Rahmah ini.

"Tapi saya secara peribadi di kedai masih menyediakan Menu Rahmah," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau yang juga Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) turut berharap supaya ahli persatuan itu terus menjual Menu Rahmah kepada pelanggan bagi membantu golongan yang terhimpit dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

"Harapan saya kepada ahli persatuan yang berkemampuan untuk beri kerjasama bagi membantu rakyat yang susah. Saya faham, sekarang ini bukan semua mampu dan ianya agak mustahil bagi mereka yang mendapat pulangan yang rendah.

"Apa yang kita ingin tekankan adalah tiada sebarang paksaan dan ianya atas komitmen masing-masing.

"Pada masa sama, apa yang kita harapkan juga adalah inisiatif daripada kerajaan supaya memberi insentif kepada pengusaha yang sudi menawarkan Menu Rahmah. Misalnya, kerajaan berikan pulangan kepada peniaga.

"Saya menyokong penuh program Menu Rahmah, tapi saya rasa perlu ada timbal balas daripada kerajaan bagi mereka (peniaga) yang sudi beri komitmen dalam menyahut insiatif kerajaan dengan menawarkan Menu Rahmah di premis mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya akan terus mengekalkan Menu Rahmah berharga RM4.90 yang dijual di pasar raya itu bagi semua pelanggan.

"Kita sedia maklum kenaikan harga barang ini takkan reda. Lagi-lagi sekarang ini, beras tempatan tiada dan kena pakai beras import yang berharga RM38 bagi 10 kilogram (kg).

"Jadi dalam kiraan kita, kos satu pinggan nasi Menu Rahmah sudah naik 12 sen. Ini daripada harga beras sahaja belum kira kenaikan telur dan sayur-sayuran.

"Bagaimanapun, kami di Mydin kekalkan harga ini. Saya harap rakan-rakan di luar sana juga akan kekalkan harga Rahmah sebab ini satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat Malaysia terutamanya bagi membantu golongan B40 yang kurang mampu.

"Saya faham kalau peniaga kecil mungkin susah sikit tapi kepada peniaga-peniaga besar, diharapkan agar mereka meneruskan inisiatif Menu Rahmah ini," katanya.

Berita Harian X