Rabu, 20 September 2023 | 6:52pm
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - Foto Bernama
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - Foto Bernama

Konvensyen syarikat pemula lahir lebih ramai teknousahawan tempatan - Rafizi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menganjurkan satu konvensyen syarikat pemula dalam masa terdekat, antara lain bagi menghasilkan lebih ramai teknousahawan tempatan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pembangunan syarikat pemula adalah prasyarat bagi mempercepat peralihan struktur ekonomi negara ke arah industri berasaskan teknologi dan digital.

Kerajaan juga, katanya, akan memastikan ekosistem modal teroka terus diperkukuh untuk mempercepat pembentukan syarikat pemula berasaskan teknologi, termasuk inisiatif khusus untuk mengumpul sumber pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Tumpuan juga akan diberikan kepada pelabur dan syarikat pemula pada peringkat awal untuk memperkasa lebih ramai bakat tempatan sebagai pencipta dan pembangun teknologi," katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Sebelum ini, kerajaan dilapor menyasar menjadikan Kuala Lumpur hab syarikat pemula dan industri digital serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital dengan sasaran Malaysia berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.

Rafizi berkata, kerajaan telah menyediakan geran RM266 juta pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf unikorn dan daripada jumlah itu, sebanyak RM63.9 juta telah disalurkan sehingga kini.

Sementara itu, beliau berkata, Kajian Separuh Penggal RMK-12 memberi keutamaan dan penekanan baharu ke atas dasar, strategi dan inisiatif bagi pembangunan sosioekonomi serta langkah memantapkan tadbir urus negara.

Ia, katanya, mengandungi tiga tumpuan utama, iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.

Rafizi berharap semua ahli Dewan Negara memberi kerjasama, sokongan dan merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksana agenda pembangunan negara selaras aspirasi Malaysia MADANI dan berlandas kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dibentang 27 Julai lalu.

"Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan negara adalah telus, adil dan saksama," katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada ahli Dewan Rakyat yang telah meluluskan usul Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang melibatkan peruntukan RM415 bilion melalui undian suara selepas selesai penggulungan, semalam.

"Saya bersyukur usul dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu telah diluluskan Dewan Rakyat semalam dan saya juga bersyukur kerana umumnya Kajian Separuh Penggal RMK-12 ini disambut baik oleh semua pihak," katanya.

RMK-12 dengan peruntukan RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 September 2021, adalah fasa pelengkap rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025) ke arah mencapai status negara maju dan inklusif.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perbahasan usul itu akan berlangsung dua hari bermula semalam, diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 25 dan 26 September.

Beliau turut mengumumkan ahli-ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah semasa majlis mesyuarat dalam tangguhan, iaitu Susan Chemerai Anding dan Datuk Mustafa Musa pada 21 Ogos, manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, semalam. - BERNAMA

Berita Harian X