PUTRAJAYA: Sebanyak RM100 juta dana diperuntuk kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) tahun ini sudah dimanfaat sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk R Ramanan, berkata semua dana terbabit digunakan meliputi pelbagai program yang sudah, sedang dan akan dilaksana.
"Berdasarkan perancangan program yang diumumkan sebelum ini, saya ingin memaklumkan RM100 juta dana MITRA sudah dimanfaatkan sepenuhnya bagi tahun 2023.
"Ini pencapaian yang amat baik berbanding tahun sebelum ini kerana pada tahun lalu, hanya 63 peratus peruntukan digunakan, 2021 (73 peratus) dan 2020 (63 peratus)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ramanan berkata, pengagihan dana terbabit merangkumi program seperti subsidi bantuan pengajian ijazah sarjana muda, subsidi pendidikan awal tadika swasta, subsidi dialisis dan program pembangunan sosioekonomi bersasar dengan kerjasama 72 pusat khidmat wakil rakyat.
Katanya, MITRA juga sedang dalam proses menyediakan dokumen penyaluran dana bagi beberapa inisiatif lain yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, MITRA akan melaksanakan Program Pembasmian Miskin Tegar Untuk Ahli Isi Rumah (AIR) Berbangsa India secara berfasa yang akan diumumkan secara terperinci oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"MITRA bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri untuk program ini dan bagi fasa pertama, kami memberi tumpuan kepada masyarakat India miskin tegar di Kuala Lumpur.
"Seramai 1,800 ahli isi rumah sudah dikenal pasti melalui sistem e-Kasih Unit Penyelarasan
"Pendapatan per kapita mereka kurang daripada RM339," katanya.
Jelasnya, sebanyak RM8.24 juta diperuntuk untuk melaksanakan program terbabit.
"Selain itu, MITRA akan melaksanakan Program Pemerkasaan Literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik untuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
"MITRA juga akan melaksanakan Program Bantuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) MITRA yang memberi tumpuan kepada penjaja kecil," katanya.
Sementara itu, beliau berharap Perdana Menteri dapat mempertimbang untuk menambah jumlah peruntukan kepada MITRA dalam Belanjawan 2024.
"Bagaimanapun saya menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri berhubung isu peruntukan untuk MITRA," katanya.