Selasa, 19 September 2023 | 4:41pm
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan ulangi komitmen kekal bersifat terbuka

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengulangi pendirian akan terus bersifat terbuka dalam menerima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sepanjang tempoh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan memerintah, tiada ada seorang wartawan ditangkap pihak berkuasa.

"Sepanjang Tambun (Anwar) mentadbir Kerajaan Perpaduan hari ini, tidak ada seorang wartawan telah ditangkap oleh pihak berkuasa, tidak ada satu surat khabar yang telah ditutup. Tidak ada apa-apa tindakan.

"Sekarang ini lebih terbuka. Itu adalah komitmen pihak kerajaan, komitmen Tambun, maka kita akan kekal (bersifat terbuka)," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai kenyataan lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai 'menyinggung' dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Mereka dalam kenyataan bersama sebelum ini meluahkan kebimbangan itu apabila MCMC sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.

Fahmi dalam penggulunggannya turut mengulas mengenai cadangan Rodziah Ismail (PH-Ampang) supaya diwujudkan siaran semakan berita fitnah agar ia boleh dirujuk secara harian.

Katanya, terdapat cadangan seumpamanya itu dengan menambah satu slot dalam berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk 'Fitnah Apa Hari Ini'.

"Ada cadangan untuk tambah satu slot dalam berita RTM, Fitnah Apa Hari ini. Ini satu cadangan dan mungkin kita akan bincang nanti. Tapi memang betul kita perlu teliti perkara (fitnah) ini," katanya.

Berita Harian X