Isnin, 18 September 2023 | 11:03am
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Hajah Nancy Shukri (tengah) dan Timbalannya, Aiman Athirah Sabu (dua, kanan), beramah mesra bersama Ketua Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Muhammad Dini Raini Zulkarnain, 12, ketika Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Kuala Lumpur, di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Hajah Nancy Shukri (tengah) dan Timbalannya, Aiman Athirah Sabu (dua, kanan), beramah mesra bersama Ketua Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Muhammad Dini Raini Zulkarnain, 12, ketika Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Kuala Lumpur, di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Hukuman gangguan seksual terhadap kanak-kanak disemak semula' - Nancy

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang dalam proses semakan undang-undang berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dibawa ke Parlimen pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, berkata antara perkara diperincikan dalam proses semakan itu adalah membabitkan hukuman terhadap kes gangguan seksual.

"Hukuman terhadap gangguan seksual sebelum ini dikatakan terlalu ringan, maka disebabkan itu ia tidak menakutkan kepada pelakunya.

"Disebabkan itu, KPWKM berbincang dari sudut hukuman terhadap gangguan seksual dimasukkan dalam proses semakan berkenaan, bagaimanapun perkara itu belum selesai setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak, Kasih Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri, di sini hari ini.

Nancy berkata, program advokasi berkenaan dapat meningkatkan kefahaman dan kita semua lebih peka dan cakna akan isu kanak-kanak seperti isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

"KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan 2,959 kes daripada Januari hingga Mei 2023 yang membabitkan penderaan dan pengabaian iaitu penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 326 direkodkan di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur adalah negeri ketiga kes tertinggi selepas Selangor dan Sabah.

"Kita mahu kanak-kanak tahu hak mereka, pada masa sama, ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling mereka sedar akan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan terhadap kanak," katanya.

Katanya, program berkenaan adalah salah satu inisiatif KPWKM dalam melaksanakan advokasi kepada kanak-kanak akan hak mereka untuk dilindungi.

"Perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita semua dan masyarakat setempat khususnya guru-guru, kaunselor, persatuan ibu bapa guru (PIBG) dan komuniti kerana kita semua memainkan peranan yang penting dalam melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

"Masyarakat umum perlu tahu apa tindakan yang perlu diambil sekiranya kanak-kanak terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian," katanya.

Berita Harian X