Jumaat, 15 September 2023 | 1:39pm

'Saya tak akan berpisah dengan adik-adik walau apapun terjadi'

SUNGAI PETANI: "Dalam sekelip mata, kami empat beradik kini yatim piatu tetapi sebagai abang, saya perlu kuat demi adik-adik dan tidak akan berpisah dengan mereka," kata Muhammad Amirul Ikhwan Ridzuan, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Muhammad Amirul Ikhwan adalah anak sulung kepada pasangan suami isteri, Ridzuan Salleh @ Ramli, 42, dan Rosmawati Ismail, 39, yang maut apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli TNT ditunggang mereka dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah trak tentera di Kilometer 87, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Gurun, semalam.

Dalam insiden kira-kira jam 2.00 petang itu, Ridzuan yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Hobart, Jeniang, melecur serta cedera di badan dan disahkan terkorban di tempat kejadian, manakala Rosmawati yang berniaga secara dalam talian pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, semalam.

Menurut Muhammad Amirul Ikhwan, kemalangan itu berlaku ketika ibu bapanya dipercayai sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Permai Utama, Jeniang di Gurun, ke HSAH untuk menziarahi ibu Rosmawati yang sakit, Jamaliah Saad, 60.

Ketika itu, katanya, dia berada di tempat tuisyen di Guar Chempedak dan terkejut apabila dimaklumkan oleh rakannya bahawa ibu bapa meninggal dunia akibat nahas.

"Memang terkejut dengan kejadian ini tetapi saya perlu kuat demi adik-adik. Tambahan pula, saya akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

"Saya akan menjaga adik-adik, Muhammad Alif Irfan, 16; Nurin Alya Iwanie, 12; dan Muhammad Ridz Danial, 5. Saya tidak akan berpisah dengan mereka walau apapun terjadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH, di sini, hari ini.

Muhammad Amirul Ikhwan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5 di Gurun berkata, dia akan sentiasa mengingati amanat arwah ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik dan menjaga solat lima waktu.

Katanya, tidak banyak perubahan yang nampak pada ibu dan bapa sebelum kejadian, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

"Semalam sebelum kejadian, abah sibuk mengemas rumah termasuk halaman sebab mahu membuat kolam di depan rumah tetapi tidak sempat siap. Mungkin itu petanda abah akan pergi selama-lamanya.

"Abah dengan ibu memang tidak pernah berpisah. Pergi mana-mana pun mereka pasti akan berdua dan kini meninggal pun bersama," katanya.

"Buat masa ini, mungkin saya dan adik-adik akan tinggal bersama bapa saudara dulu. Selepas itu, saya akan fikirkan sama ada menjaga adik-adik sendiri atau dengan bantuan ahli keluarga lain sebab saya hendak selesaikan peperiksaan SPM dulu," katanya.

Ketika ini, jenazah pasangan itu masih berada di Jabatan Forensik HSAH untuk urusan bedah siasat, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Segantang Garam, Merbok, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit yang sedang bergerak laju dari arah Alor Setar menghala ke arah Butterworth, melanggar belakang trak tentera setiba di lokasi kemalangan.

"Impak perlanggaran kuat itu menyebabkan motosikal ditunggang pasangan berkenaan terbakar di tengah jalan," katanya.

Muhammad Amirul Ikhwan bersama dua adiknya. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Muhammad Amirul Ikhwan bersama dua adiknya. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Berita Harian X