KUALA LUMPUR: Satu kajian dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, 64 peratus rakyat di negara ini mengalami beberapa bentuk diskriminasi dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Dalam tinjauan Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023 yang dilaksanakan oleh Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) terhadap 3,238 responden, 38 peratus mendedahkan mengalami diskriminasi dalam bentuk status sosioekonomi, 33 peratus kerana umur dan 32 peratus kerana etnik.
Elemen diskriminasi juga disebabkan faktor warna kulit dan bahasa (32 peratus), manakala tempat tinggal dan pendirian politik masing-masing (28 peratus), identiti gender (26 peratus), jantina (24 peratus), agama (22 peratus) dan keupayaan diri atau tahap kesihatan (19 peratus).
"Selain itu, penganut Hindu didapati cenderung mengalami diskriminasi agama dalam tempoh 12 bulan lalu iaitu mencapai 40 peratus, berbanding Kristian (26 peratus), Buddha (22 peratus) dan Muslim (20 peratus)," menurut dapatan kajian itu yang didedahkan Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee, pada sidang media, di sini, semalam.
Jason berkata, tinjauan itu bertujuan menyediakan kajian asas mengenai sifat kuantitatif diskriminasi di Malaysia yang berkaitan dengan pelbagai identiti, termasuk agama dan bangsa.
Tinjauan dijalankan dari 4 hingga 23 Ogos membabitkan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara.
Belum penuhi harapan
Jason berkata, inisiatif kerajaan bagi mengatasi diskriminasi yang timbul setakat ini, belum memenuhi harapan responden sepenuhnya apabila hanya 45 peratus berpuas hati, manakala 40 peratus masih tidak berpuas hati.
Beliau berkata, apabila ditanya apa yang kerajaan patut lakukan untuk menyelesaikan diskriminasi, jawapan diterima termasuklah cadangan mewujudkan undang-undang berhubung perkara itu dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Selain status sosioekonomi, diskriminasi turut dirasai rakyat negara ini berhubung faktor usia mereka yang mewakili 33 peratus dan kaum (32 peratus).
"Generasi muda berusia di antara 18 hingga 24 tahun lebih banyak pengalaman didiskriminasi disebabkan kaum yang mewakili 43 peratus, berbanding mereka yang lebih berusia iaitu 40 hingga 59 tahun (23 peratus) dan 60 tahun ke atas (22 peratus).
"Sama ada lelaki dan wanita, kedua-duanya pernah mengalami diskriminasi berkaitan jantina dalam kadar lebih kurang sama iaitu mewakili 21 peratus (lelaki) dan 27 peratus (wanita)," katanya.
Pada masa sama, 32 peratus responden mendedahkan diskriminasi paling banyak dialami menerusi media sosial; ketika mencari pekerjaan (30 peratus) dan di tempat kerja (29 peratus).
Diskriminasi mohon kerja
Responden kaum India, dikesan mengalami tahap diskriminasi lebih tinggi daripada kaum lain ketika memohon pekerjaan yang mewakili 51 peratus.
"Selain itu, responden India juga mengalami diskriminasi ketika mencari tempat tinggal (35 peratus) dan ketika berurusan dengan polis (21 peratus)," katanya.
Beliau berkata, bagi mereka yang mengalami diskriminasi di tempat kerja, keadaan kerja mencatatkan tahap paling tinggi iaitu sebanyak 62 peratus dan gaji (53 peratus).
Katanya, pekerja dari Sabah dan Sarawak mengalami diskriminasi berkaitan keadaan pekerjaan iaitu sebanyak 72 peratus, manakala diskriminasi berkaitan gaji lebih dirasai oleh responden India sebanyak 60 peratus dan Melayu (56 peratus) berbanding Cina (41 peratus) dan Bumiputera lain (51 peratus).
"Lebih malang, apabila majoriti mereka yang berdepan diskriminasi iaitu 55 peratus memilih untuk tidak melaporkannya kerana kekurangan bukti, selain halangan dari segi masa atau wang.
"Selain itu, kesedaran mengenai diskriminasi secara amnya adalah rendah, contohnya kurang daripada separuh atau 49 peratus responden, merasakan larangan memakai pakaian keagamaan di tempat kerja adalah diskriminasi, manakala 37 peratus lagi berasa ia bukan bentuk diskriminasi," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang turut menghadiri sidang media itu menyifatkan, dapatan kajian adalah mengejutkan dan justeru itu memerlukan pembaharuan struktur daripada kerajaan.
Beliau berkata, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dalam aspek empati untuk memastikan penyelesaian dapat dicapai berhubung perkara ini.