KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan tidak lagi berada dalam sindrom penafian berhubung masalah bekalan beras putih tempatan.
Sebaliknya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menggesa kerajaan segera menyiasat masalah kekurangan bekalan bahan makanan ruji itu.
Katanya, pada masa ini, sepatutnya negara mengeluarkan 65 peratus beras tempatan dan mengimport 35 peratus beras .
"Sebahagian besar daripada 35 peratus beras import itu bukan beras putih tapi beras wangi dan beras istimewa.
"Maknanya kita mengeluarkan dalam 1.5 juta metrik beras dan 900,000 tan beras import, jadi di mana beras putih tempatan?
"Sekarang ini pengguna tidak dapat membeli beras putih tempatan pada harga RM2.60 satu kilogram. Beras import dijual pada harga dalam anggaran RM3.60 hingga RM3.90 satu kilogram," katanya dalam perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata kerajaan wajar memulakan siasatan sama ada berlaku manipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.
"Kita sepatutnya ada pilihan beras tempatan. Sebab itu saya katakan kementerian harus siasat kenapa kita tidak dapat memperoleh beras putih tempatan di pasaran tempatan.
"Adakah disebabkan manipulasi untuk mengaut keuntungan? Ataupun ada pihak kilang yang enggan memproses padi tempatan untuk dijual sebagai beras tempatan, kerana memproses beras dari luar lebih menguntungkan?
"Jadi kerajaan harus tidak dalam sindrom penafian tetapi melihat dan menyiasat perkara ini supaya rakyat Malaysia dapat membeli beras tempatan dengan harga RM2.60 satu kilogram," kata Naib Presiden BERSATU itu.
Sementara itu, penyokong kerajaan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu mempertimbangkan kajian semula eksport beras Malaysia sehingga bekalan domestik stabil.
Beliau percaya kekurangan beras putih dalam negeri disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import, manakala pada masa sama, Malaysia terus mengeksport sebahagian daripada hasil berasnya.
"Ini harus menjadi satu perkara yang mesti diuruskan oleh kementerian supaya pengeksportan beras ini mesti melalui satu garis panduan di mana bekalan dalam negara harus cukup dulu sebelum kita eksport dulu.
"Saya cadangkan agar kita kurangkan jumlah eksport beras sehingga bekalan beras tempatan di pasaran stabil," katanya.
Mengulas isu yang sama, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menyifatkan kekurangan bekalan beras putih seolah-olah negara kembali dalam penjajahan Jepun di Tanah Melayu yang mana berlaku kekurangan bekalan.
"Adakah kita mahu menggalakkan rakyat kita kembali makan ubi kayu seperti zaman Jepun dulu?" katanya.