Rabu, 13 September 2023 | 4:29pm
Anthony Loke (kiri) dan Syed Saddiq.
Anthony Loke (kiri) dan Syed Saddiq.

'Tindakan Syed Saddiq tak gugat Kerajaan Perpaduan'

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan tidak menggugat kedudukan kerajaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Keputusan Syed Saddiq menyaksikan Kerajaan Perpaduan tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga.

Ketika ini, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama 14 parti politik mempunyai 147 ahli Parlimen daripada 222 kerusi Parlimen, kurang satu kerusi untuk menjadi kuasa majoriti dua pertiga (148 kerusi).

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tidak timbul kegusaran dengan keputusan Syed Saddiq terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tak ada kesan, " katanya secara ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Menurut Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau sudah memaklumkan pendirian itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul, melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, ia sebagai protes terhadap keputusan pembebasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.

Dengan keputusan itu, menjadikan jumlah pembangkang adalah 74 termasuk satu kerusi melalui Syed Saddiq.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, MUDA bertanding menggunakan logo sendiri di empat kerusi iaitu Parlimen Muar, Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang, Tanjung Piai dan Kota Marudu, namun hanya menang satu kerusi di Parlimen Muar.

Berita Harian X