KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan membabitkan video berkaitan penganjuran 'Perhimpunan Selamatkan Malaysia' yang dirancang diadakan di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata ia susulan pihaknya menerima laporan mengenai satu paparan klip video menerusi laman sosial oleh seorang individu yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu.
"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Setakat ini, beliau berkata, polis menerima lima laporan berhubung paparan klip video itu, dengan dua individu sudah direkodkan keterangan dan empat lagi akan dipanggil bagi dirakam keterangan dalam masa terdekat.
"Orang ramai dinasihatkan tidak terbabit apa-apa perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang. Tindakan akan diambil pada mana-mana pihak yang terlibat," katanya.
Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu sempena Hari Malaysia, dan mengenakan baju berwarna putih sebagai tanda sokongan.
Sementara itu dalam kes berasingan, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan susulan tindakan 20 individu cuba berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata kumpulan itu mengingkari arahan polis supaya tidak berarak ke Parlimen kerana penyerahan memorandum berkenaan telah diselaraskan oleh pihak Parlimen untuk diadakan di Tugu Negara, di sini.
"Individu terbabit sudah dikenal pasti dan akan dipanggil memberikan keterangan untuk membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, semalam. – BERNAMA