Selasa, 12 September 2023 | 8:38pm
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse. - Foto Facebook
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse. - Foto Facebook

'MUDA bagai kacang lupakan kulit, perlu cermin diri' - PKR Johor

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) disifatkan seperti kacang lupakan kulit kerana tidak mengenang bantuan jentera, penyokong serta pengundi Pakatan Harapan (PH) sehingga menang di kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, turut meminta MUDA untuk mencermin diri kerana tanpa bantuan jentera dan penyokong PH, mereka tidak akan sesekali berpeluang memenangi dua kerusi itu.

Beliau berkata, ia terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri apabila MUDA hilang deposit di semua kerusi di mana mereka sanggup bertanding melawan PH di 19 kerusi.

"Hakikatnya MUDA wujud atau tidak, atau tiada di Malaysia, di Johor dan di Tebrau tidak memberi apa-apa makna kerana tiada beri nilai tambah kepada PH.

"Sebaliknya, MUDA banyak menyusahkan dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang bertujuan menyerang kepemimpinan Kerajaan Perpaduan. Mereka seharusnya cermin diri tanpa bantuan PH, mereka tidak akan sama sekali berpeluang memenangi kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa.

"Tidak melampau untuk saya ibaratkan MUDA seperti kacang lupakan kulit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, MUDA dilaporkan tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di Johor selepas memutuskan kerjasama dan keluar daripada gabungan politik itu.

Ia susulan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar dilaporkan secara rasmi mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, ia sebagai protes terhadap keputusan pembebasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.

Semalam, Amira Aisya Abd Aziz yang juga Timbalan Presiden MUDA diumumkan Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng, bukan lagi duduk dalam blok PH di DUN Johor.

Hari ini, Amira Aisya dilaporkan bertegas mahu menggalas mandat yang diberikan rakyat (sebagai ADUN Puteri Wangsa) sehingga pilihan raya akan datang walaupun diminta mengosongkan kerusi itu oleh PH.

Amira Aisya turut dilaporkan mengesahkan tidak lagi bersama PH di blok pengimbang kerajaan dengan keputusan itu adalah selari seperti yang ditetapkan Syed Saddiq, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Jimmy yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, beliau juga membuat keputusan menamatkan sebarang kerjasama dengan ADUN Puteri Wangsa yang berada dalam kawasan Tebrau, berkuat kuasa serta- merta.

"Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa, maka saya selaku Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan turut membuat keputusan menamatkan sebarang bekerjasama dengan ADUN Puteri Wangsa dan dalam masa terdekat akan menyusun gerak kerja penyelarasan di DUN Puteri Wangsa," katanya.

Berita Harian X